- Iklan -
Berita

Pelakon sitkom ‘Full House’, Bob Saget meninggal dunia di bilik hotel

Hos rancangan popular America's Funniest Home Videos itu meninggal dunia pada usia 65 tahun.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Bob Saget terkenal sebagai pemegang watak bapa tiga anak perempuan dalam sitkom 'Full House' pada 80-an. Gambar: AFP
Bob Saget terkenal sebagai pemegang watak bapa tiga anak perempuan dalam sitkom 'Full House' pada 80-an. Gambar: AFP

Pelawak Amerika Syarikat (AS), Bob Saget, yang popular dalam siri rancangan televisyen “Full House” pada 1980-an dan 1990-an, ditemui meninggal dunia di bilik hotel Florida, menurut polis semalam.

“Awal hari ini, anggota kami ke Ritz-Carlton Orlando, Grande Lakes selepas menerima panggilan mengenai seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di bilik hotel itu.

Lelaki itu dikenal pasti sebagai Robert Saget dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Anggota penyiasat tidak menemui tanda-tanda jenayah atau dadah yang digunakan dalam kes ini,” menurut pejabat ketua polis Orange County dalam ciapan di akaun Twitternya.

Saget, 65, memainkan watak Danny Tanner, seorang bapa kepada tiga anak perempuan dan usahanya untuk membesarkan mereka, dibantu abang iparnya, Jesse dan rakan, Joey, membuatkan sitkom “Full House” popular.

Ia disiarkan selama lapan musim, sejak 1987 hingga 1995, di ABC.

Netflix kemudiannya menyiarkan sekuel kepada sitkom itu yang memfokuskan watak salah seorang anak perempuan Danny, DJ Tanner, yang disiarkan pada 2016 hingga 2020.

Saget, yang turut popular sebagai hos rancangan America’s Funniest Home Videos baru sahaja menyelesaikan jelajah negara itu baru-baru ini.

Beberapa jam sebelum kematiannya diumumkan, Saget menulis ciapan untuk menyatakan keseronokannya melakukan persembahan di Jacksonville.

Dia meninggalkan seorang isteri, Kelly Rizzo dan tiga anak.

“Bob Saget adalah seorang pelawak disayangi. Ketiadaannya pasti akan dirindui,” ciap akaun rasmi saluran televisyen, Comedy Central.