Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mengecam Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berhubung reaksinya terhadap klip video kanak-kanak Rohingya yang mengemis di jalan raya, mendakwa beliau sekali lagi mencetuskan xenofobia terhadap kumpulan itu.
Hamzah sebelum ini berkata pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak seharusnya bersikap keras kepala dan harus memahami kedudukan mereka sebagai berstatus pelarian.
Beliau turut berkata golongan itu hanya memegang kad UNHCR dan tidak boleh beranggapan Malaysia adalah negara “cemetery”.
“Jadi atas sifat perikemanusiaan itu kita cuba membantu sebaik mungkin tapi jangan sampai naik kepala.
“Kita tidak mahu timbul permasalahan lain misalnya di kawasan lampu isyarat di ibu kota berlakunya tindakan memaki hamun orang awam dan ia tidak patut berlaku di dalam negara ini,” katanya.
Penyelaras LFL Zaid Malek mempersoalkan nada kenyataan Hamzah tersebut, mengatakan menteri itu membesarkan isu itu sehingga membayangkan semua pelarian Rohingya “naik kepala” atau “bermasalah”.
“Apakah maksud ungkapan kritikan menteri yang kata orang ‘naik kepala’? Apakah tiada rakyat Malaysia yang ‘naik kepala’? Adakah kita semua malaikat sehingga kita hukum semua kaum itu sama?”
Dalam sebuah kenyataan, Zaid turut berkata tindakan Hamzah melabelkan seluruh kaum itu adalah “satu tindakan perkauman”.
Zaid berkata, sebagai seorang menteri dalam negeri Hamzah sepatutnya lebih berhati-hati dalam kata-katanya daripada terus mencetuskan xenofobia terhadap pelarian Rohingya.
“Beliau sepatutnya lebih bimbang apakah kanak-kanak itu dieksploitasi, dan apakah punca yang menyebabkan kanak-kanak itu mengemis,” katanya.
Zaid turut menambah tiada rangka kerja yang melindungi kesejahteraan fizikal dan ekonomi pelarian di Malaysia, dan menyifatkan golongan itu “sangat terdedah” kepada eksploitasi dan akan melakukan apa sahaja yang boleh untuk meneruskan kehidupan.
Justeru, menurutnya, sebagai orang yang mempunyai kuasa dalam kerajaan, Hamzah sepatutnya menggunakan kedudukannya untuk memberi perlindungan dan bantuan yang wajar kepada pelarian Rohingya.
Katanya, Hamzah tidak seharusnya mengungkapkan “ulasan menyakitkan” terhadap masyarakat Rohingya secara keseluruhannya hanya berdasarkan video yang memaparkan aksi dua orang kanak-kanak.