- Iklan -
Berita

Azam fail saman fitnah RM10 juta terhadap penuduh

Saman itu difailkan selepas Lalitha Kunaratnam tidak memberikan respons terhadap surat tuntutan yang dikeluarkan pada 6 Januari lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini memfailkan saman fitnah bernilai RM10 juta terhadap seorang aktivis berhubung dakwaan pembelian saham syarikat tahun lalu.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Lalitha Kunaratnam berikutan surat tuntutan yang dikeluarkan pihak Azam pada 6 Januari lalu tidak mendapat sebarang respons darinya.

“Sebaliknya, beliau melalui peguamnya mengeluarkan kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Twitter. Beliau mendakwa akan meneruskan penerbitan dan ulang terbit kandungan yang klien kami anggap sebagai fitnah.

“Oleh itu, klien kami mengambil keputusan memfailkan saman ini sebelum tamat tempoh 14 hari dari tarikh surat tuntutan tersebut bagi melindungi nama baik, reputasi dan kedudukan profesionalnya,” kata peguamnya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Azam menjadi sasaran serangan daripada ahli politik Pakatan Harapan (PH) berkait artikel yang diterbitkan Disember tahun lalu, di mana Lalitha yang mempunyai kaitan dengan NGO C4 Center mendakwa ketua pesuruhjaya SPRM itu mempunyai konflik kepentingan dalam pemilikan saham beberapa syarikat.

Surat tuntutan Azam dihantar kepada Lalitha minggu lalu sementara SPRM membuat laporan polis terhadapnya, menyifatkan dakwaan aktivis itu adalah palsu tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Melalui saman yang difailkan hari ini, Azam menuntut injunksi terhadap “Lalitha dan/atau ahli keluarganya atau ejen-ejennya atau selainnya walau dalam apa cara sekalipun dihalang daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan perkataan yang dirujuk dalam saman tersebut.”

Beliau juga turut memnuntut perintah mahkamah supaya Lalitha memadam kenyataan atau artikel berkenaan dalam masa tiga hari dari tarikh penghakiman dan permohonan maaf secara terbuka.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi