- Iklan -
Berita

Bekas pemain bola sepak kebangsaan Shebby Singh meninggal dunia

Beliau meninggal dunia ketika sedang berbasikal di Sunway Iskandar Puteri malam semalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar bekas pemain bola sepak kebangsaan Shebby Singh.
Tangkap layar bekas pemain bola sepak kebangsaan Shebby Singh.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh, meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway Iskandar Puteri.

Ketua Polis Iskandar Puteri Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

“Saya masih tidak dapat laporan penuh. Kejadian berlaku lebih kurang 7.30 malam, beliau dipercayai terbabas ketika berbasikal di lokasi kejadian,” katanya.

Shebby, 61, merupakan bekas pemain negara yang pernah beraksi untuk pasukan Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang sebelum bersara pada 1996.

Lahir pada 20 Ogos 1960, bakat Shebby yang berasal daripada Kluang, Johor dikesan oleh Abdul Shatar Khan, individu yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.

Mendiang S. Subramaniam kemudian berjaya memujuk Shebby untuk meninggalkan Johor dan berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1983, satu tindakan kontroversi menyaksikan Shebby digantung setahun oleh Johor atas alasan berpindah tanpa kebenaran.

Menyarung jersi kebangsaan pada kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982, Shebby mengumpul 61 penampilan mewakili negara sehingga persaraannya selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

Sepanjang beraksi untuk skuad Harimau Malaya bermula 1982-1991, Shebby telah mewakili negara di tiga temasya Sukan Asia, iaitu 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing), selain meraih emas Sukan SEA 1989 dan gangsa pada edisi 1985.

Di arena domestik, Shebby dikenali sebagai seorang pemain pertahanan kental sepanjang kerjaya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994.

Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012-2013, Serbegeth pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta Malacca Telekom FC, selain menjadi penasihat teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT).