- Iklan -
Berita

Kerajaan tetapkan harga siling runcit, borong vaksin Sinovac

Harga siling itu akan berkuat kuasa pada Sabtu ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memeriksa vaksin Sinovac keluaran China sebelum memberikan suntikan kepada penerima. Gambar: AFP
Petugas kesihatan memeriksa vaksin Sinovac keluaran China sebelum memberikan suntikan kepada penerima. Gambar: AFP

Harga runcit dan borong maksimum bagi dua produk vaksin Covid-19 jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm akan ditetapkan berkuat kuasa Sabtu ini (15 Januari).

Harga runcit maksimum bagi CoronaVac Suspension for Injection SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dengan nombor pendaftaran MAL21036010ARZ dan MAL21046125ACSZ adalah RM77, manakala harga borong ditetapkan RM62 tiap satu dos.

Bagi vaksin Covilo Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dengan nombor pendaftaran MAL21076098AZ pula, harga runcit maksimum adalah RM61 dan harga borong ialah RM49 per dos.

Penetapan harga maksimum vaksin Covid-19 di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 itu diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan bersama hari ini.

“Penguatkuasaan perintah ini akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM (kementerian kesihatan),” menurut kenyataan bersama itu.

Pemberian vaksin adalah percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk penduduk, namun rakyat juga boleh mendapatkan vaksinasi Covid-19 mengikut pilihan sendiri secara berbayar di hospital dan klinik swasta yang telah diberi kebenaran oleh KKM.

Menurut kenyataan itu, kerajaan mendapati harga vaksin Covid-19 yang ditawarkan di sektor swasta masih tinggi serta berbeza antara satu sama lain, dan pastinya kadar itu membebankan rakyat terutamanya di saat negara masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sebagai kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup rakyat serta mengawal jangkitan Covid-19, kementerian dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) dan KKM bekerjasama melaksanakan penentuan harga maksimum vaksin Covid-19 untuk mengelak ia dijual dengan harga yang terlalu tinggi di pasaran.

“Penentuan harga vaksin Covid-19 hanya melibatkan vaksin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM,” kata kenyataan itu.

Menurutnya penentuan harga maksimum itu secara asasnya dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa.

“Harga runcit maksimum yang ditetapkan adalah tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin Covid-19,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan senarai dan harga vaksin Covid-19 akan dikaji secara berterusan dan ditambah baik atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran dan keperluan semasa.

Kenyataan itu menyebut setiap fasiliti kesihatan swasta yang mendapat kelulusan kerajaan untuk menawarkan private-purchase vaccination diwajibkan mempamerkan harga jualan vaksin Covid-19 untuk rujukan orang ramai dalam meningkatkan ketelusan maklumat harga vaksin.

“Dengan ini orang ramai boleh membuat perbandingan harga dan mendapatkan vaksin Covid-19 pada harga yang berpatutan mengikut pilihan pengguna,” katanya.

Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Jika didapati ada individu atau syarikat yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan harga maksimum ini, pengguna boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM moh.spab.gov.my .