- Iklan -
Berita

Sultan Perak gesa kerjasama semua pihak tangani kesan perubahan iklim

Menurut Nazrin, bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini dengan jelas menunjukkan bahayanya kesan yang dibawa oleh perubahan iklim.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Gambar: Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Gambar: Bernama

Seluruh rakyat Malaysia perlu terus bekerjasama untuk melindungi dan mengurangkan kesan kerosakan yang dibawa oleh perubahan iklim, usaha yang amat penting bagi memelihara kemakmuran dan kelangsungan negara, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini sekali lagi dengan jelas menunjukkan bahayanya kesan yang dibawa oleh perubahan iklim.

“Kesan aktiviti manusia terhadap hidupan liar, iklim, sungai, hutan, dan lautan kita adalah mendalam, begitu juga akibatnya kepada manusia. Langkah bagi memulihkan planet kita ini memerlukan usaha semua pihak, daripada kerajaan sehingga sektor swasta, dan juga orang ramai.

“Semasa memberikan respond yang baik dalam membantu mereka yang terjejas akibat bencana, kita juga perlu bertegas melangkah untuk memperbaharui usaha-usaha bagi menangani punca utama kejadian,” titah baginda dalam ucapan diraja dalam satu majlis khas sempena ulang tahun ke-50 Tabung World Wide Fund For Nature (WWF) Malaysia hari ini, yang disampaikan baginda secara maya.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin turut menekankan betapa pemuliharaan adalah unsur yang amat penting dalam pembangunan Malaysia, yang mewarisi sumber semula jadi yang tidak ternilai, termasuk hutan hujan dan kekayaan kepelbagaian biologi.

“Malaysia mempunyai tanggungjawab besar bagi melindungi perkara ini dengan berkesan. Kita perlu bangkit untuk menghadapi cabaran ini, bagi kita sendiri, dan juga bagi populasi global,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah komitmen teguh Malaysia terhadap pemuliharaan boleh dilihat dalam beberapa aspek dan ini termasuk Dasar Perhutanan Negara yang mewajibkan 50% negara ini perlu kekal dengan liputan hutannya.

“Kita ada Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang menetapkan komitmen memperuntukkan 20% daripada keluasan tanah kita sebagai kawasan perlindungan, dan kita juga komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Bagaimanapun apa yang penting adalah semua ikrar dan rancangan ini dilaksanakan sepenuhnya dalam amalan kita.

“Pertubuhan-pertubuhan seperti WWF Malaysia akan terus berada di barisan hadapan dalam usaha ini, untuk 50 tahun akan datang lagi, malah selepas daripada tempoh itu, semasa kita menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.

Sultan Nazrin bertitah bahawa WWF Malaysia memainkan peranan penting selama 50 tahun yang lepas dan telah membantu negara ini menghadapi cabaran alam sekitar seterusnya menjadi suara yang lantang dalam memperjuangkan pemuliharaan alam semula jadi di Malaysia, bersuara untuk melindunginya dan juga untuk memulihara kawasan yang telah hilang.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.