- Iklan -
Berita

5.7 juta pengundi baru kini boleh semak daftar pemilih

SPR menyenaraikan empat kaedah bagi pengundi menyemak nama mereka dalam senarai daftar pemilih.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi baru berusia 18 tahun ke atas kini boleh membuat semakan nama dalam daftar pemilih yang dikemas kini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Gambar: Bernama
Pengundi baru berusia 18 tahun ke atas kini boleh membuat semakan nama dalam daftar pemilih yang dikemas kini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Gambar: Bernama

Daftar pemilih terkini yang turut menyenaraikan 5,718,760 juta warganegara berusia 18 tahun secara automatik sebagai pengundi baru kini dibuka untuk semakan bermula hari ini.

Dalam sebuah kenyataan, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata proses semakan tersebut akan dilaksanakan selama enam bulan yang berakhir pada 13 Julai 2022.

“Daftar Pemilih Tambahan 12/2021 ini mengandungi 5,718,760 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baru.

“25,220 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi,” katanya.

SPR menyediakan empat kaedah semakan bagi daftar pemilih tersebut termasuk:

1. Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my.
2. Aplikasi mudah alih MySPR Semak.
3. Portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
4. Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Pelaksanaan daftar pemilih automatik adalah susulan pindaan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun (Undi 18).

Cadangan pindaan tersebut diluluskan di Parlimen pada Julai 2019.

Ia diwartakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong awal Disember lalu dan berkuat kuasa pada 15 Disember.

Dalam pada itu, SPR turut menggesa warganegara 18 tahun dan ke atas dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam daftar pemilih terkini tersebut.

Sekiranya nama didapati tidak disenaraikan dalam Daftar Pemilih Tambahan 12/2021, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.”

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi