- Iklan -
Berita

Big Bad Wolf teruskan sumbangan kepada masyarakat walau alami kerugian akibat banjir

Lebih banyak buku akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan walaupun gudang simpanannya alami kerugian puluhan ribu semasa banjir baru-baru ini.

Danisyah Dalily
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja BookXcess melakukan kerja-kerja membaiki dan pembersihan rak buku di dalam gudang yang dilanda banjir hingga mengakibat jutaan buku rosak di Seksyen 33, Shah Alam.
Pekerja BookXcess melakukan kerja-kerja membaiki dan pembersihan rak buku di dalam gudang yang dilanda banjir hingga mengakibat jutaan buku rosak di Seksyen 33, Shah Alam.

Big Bad Wolf Books hari ini berikrar untuk menderma buku melalui inisiatif program kemasyarakatan jangka panjangnya walaupun mengalami kerugian puluhan ribu akibat banjir yang melanda gudang BookXcess di Shah Alam.

Menurutnya, ia adalah satu cara untuk menyumbang semula kepada masyarakat, terutama kepada mereka yang terjejas akibat banjir.

Sumbangan buku itu akan diagihkan kepada 2,000 komuniti mencakupi tadika hingga perpustakaan sekolah, selain keluarga yang kurang berkemampuan dan rumah anak yatim.

Tiga minggu lalu, gudang BookXcess di Shah Alam kehilangan jutaan buku akibat banjir yang melanda bangunan seluas 200,000 kaki persegi itu.

Bagaimanapun, pengasasnya Andrew Yap berkata pengalaman ditimpa bencana itu telah mencetuskan keinginan dalam dirinya untuk memberi lebih banyak sumbangan kepada masyarakat, terutama selepas melihat kanak-kanak dari kawasan kejiranan yang datang ke gudang itu untuk menyelamatkan buku-buku yang masih boleh digunakan.

Beliau turut menambah kejadian itu telah memberikan pengalaman traumatik kepada pasukannya dan mengingatkan beliau tentang misi untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

“Misi kami adalah untuk sentiasa memperkasa dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dengan menjadikan buku boleh diakses oleh semua orang. Kami telah memberi tumpuan untuk mencipta generasi baru pembaca dan meningkatkan usaha celik Bahasa Inggeris, dan membantu dalam meningkatkan peluang hidup mereka,” katanya.

Big Bad Wolf Books memulakan inisiatif tersebut awal minggu ini di mana ratusan buku disumbangkan kepada keluarga mangsa banjir di sekitar Shah Alam, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas di Selangor.

Bagaimanapun, Yap berkata lebih banyak sokongan dan sumbangan diperlukan untuk menjayakan misi tersebut.

“Setiap sumbangan akan disalurkan kepada misi ini. Tiada istilah derma yang terlalu kecil atau terlalu besar.

“Oleh itu, kami jemput semua orang untuk menyertai kami dalam menderma kepada seluruh masyarakat. Jika syarikat atau individu dapat memberikan ikrar komitmen sebanyak RM3,500, ia akan sangat membantu dalam usaha menyumbang ratusan buku bagi mengisi perpustakaan dan membantu orang ramai dengan cara yang tidak ternilai harganya,” katanya.

Big Bad Wolf Books juga akan mengadakan jualan buku dalam talian “Big Bad Comeback” dari 14 hingga 23 Januari ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.