- Iklan -
Berita

Dari budaya saingan ke sukan ekstrem: Sarawak jenamakan semula papan selaju

Lebih banyak kemudahan perlu dibangunkan sekiranya Malaysia berhasrat melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat Olimpik.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Denny Zulfikar menunjukkan satu aksi bermain papan selaju di Kuching School of Skateboarding, Sarawak.
Denny Zulfikar menunjukkan satu aksi bermain papan selaju di Kuching School of Skateboarding, Sarawak.

Di Pusat Sivik Kuching, kelihatan Arif Taqif menuju ke taman papan selaju dengan menggalas beg berisi buku nota, pen, dan klip kertas.

Dia kelihatan seperti seorang murid yang sudah bersedia untuk masuk ke kelas.

Tetapi Arif baru sahaja mencecah lima tahun, dia sebetulnya hendak ke kelas yang dianjurkan Kuching School of Skateboarding.

Di banyak tempat, aktiviti bermain papan selaju dianggap sebagai satu budaya saingan, ia sering dikaitkan dengan jiwa memberontak dan enggan patuh kepada peraturan.

Namun, Denny Zulfikar yang merupakan pengasas Kuching School of Skateboarding berhasrat untuk mengubah persepsi umum terhadap sukan itu daripada terus dilihat sebagai aktiviti penentangan kepada satu sukan ekstrem yang berpotensi besar.

Denny Sulfikar memerhatikan pelajar Kuching School of Skateboarding mengimbang papan selaju mereka.

Denny mengasaskan sekolah uniknya itu pada 2016, sejak ditubuhkan, dia berjaya mengajar selok-belok dan teknik sukan papan selaju kepada ratusan pelajar termasuk kanak-kanak seawal usia Arif sehingga orang dewasa.

Di bawah program tiga bulan yang disertai Arif, kanak-kanak sehingga umur 12 tahun berkumpul setiap hujung minggu di taman papan selaju.

Jika mereka tidak melakukan aktiviti fizikal, mereka mengambil bahagian dalam aktiviti lain seperti kelas reka bentuk.

Mereka juga diperkenalkan kepada atlet profesional tempatan dalam sukan tersebut bagi penglibatan sivik dan memupuk kemahiran kepimpinan.

Bagaimanapun, atlet papan selaju Sarawak Mohd Nur Firdaus Marzuki berkata kesedaran mengenai aktiviti bermain papan selaju sebagai sukan yang serius sebenarnya masih rendah.

Seorang pelajar berlatih sambil diperhatikan Denny Zulfikar.

Firdaus sendiri menolak tawaran mewakili Malaysia di Sukan Asia pada 2018 walaupun memenangi tempat pertama dalam pusingan kelayakan kerana diberitahu dia tidak akan menerima elaun.

“Tidak banyak peluang komersial di Malaysia kerana industri sukan ini terlalu kecil,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jika anda tonton perlawanan badminton, terdapat begitu banyak iklan. Tetapi hal ini anda tidak nampak di sini ketika menonton aktiviti papan selaju.”

Menurutnya, keadaan berubah menjadi lebih baik ketika dipilih sebagai salah seorang daripada tujuh atlet papan selaju mewakili Malaysia di Sukan SEA Filipina pada 2019.

“Itulah kali pertama kami dianggap sebagai atlet negara,” katanya.

Di sana, pasukan negara memenangi pingat emas dan satu gangsa.

Namun begitu, Firdaus mengakui Indonesia mempunyai pemain papan selaju terbaik di rantau ini, mengaitkannya dengan kemudahan yang terdapat di negara jiran itu.

“Indonesia mempunyai taman papan selaju bertaraf antarabangsa untuk atlet berlatih,” katanya.

Bagaimanapun, di Sarawak, para pemain dan atlet papan selaju menjangkakan perkembangan yang lebih baik bagi sukan itu dengan pembinaan Sibu Youth Space yang menempatkan taman papan selaju rasmi pertama di negeri ini.

Terletak di tebing Sungai Rajang, taman itu dibuka kepada orang ramai pada November tahun lalu dan kini menarik ramai pengunjung terutama pemain papan selaju muda dan peminat sukan lasak dari sekitar Sarawak.

Profesional sukan papan selaju menunjukkan cara-cara untuk melakukan satu ‘trick’ papan selaju kepada pelajar.

Kedua-dua Denny dan Firdaus berharap taman itu akan menjadi permulaan dalam merancakkan pembangunan yang lebih baik bagi sukan itu di Sarawak sekali gus seluruh negara.

“Untuk melatih bakat muda, kita perlu bina lebih banyak kemudahan yang sesuai,” kata Denny yang dilantik oleh Sarawak Sport Corporation sebagai jurulatih papan selaju rasmi negeri itu.

“Jika kita benar-benar mahu melahirkan atlet papan selaju untuk menjadi wakil di Sukan Olimpik, kementerian sukan di peringkat negeri dan persekutuan harus beri tumpuan kepada usaha membangunkan pasukan kebangsaan untuk acara jalanan dan taman.”

Kemudahan bertaraf sukan antarabangsa demikian tidak wujud ketika atlet seperti Firdaus berlatih ketika mewakili negara pada Sukan SEA.

“Dia terpaksa berlatih sendiri, di tempat awam,” kata Denny.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.