Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang remaja yang ditahan kerana mencuri wang masjid dan tular dalam sebuah video dimandikan seperti jenazah untuk menjalani khidmat sosial 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas semakan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Majistret sebelum ini.
Menurut laporan BH Online, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abdul Halim Aman membuat keputusan tersebut selepas mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Sebelum ini, Daniel ditangkap orang awam kerana disyaki mencuri wang derma sebuah masjid di Kuang, Selangor.
Ketika ditahan orang awam, beliau kemudiannya dimandikan seperti jenazah oleh pihak masjid dipercayai untuk memberi pengajaran mengenai kesalahan tersebut.
Daniel diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy dalam perbicaraan hari ini.
Sementara pihak pendakwaan diwakili Norhana Sahat.
Kejadian Daniel dimandikan itu berlaku pada 8 Januari lalu. Ia kemudian menjadi perbahasan hangat di media sosial selepas video rakaman yang memaparkan kejadian tersebut tular.
Pada 13 Januari, dia didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, Selangor.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan kemudian menetapkan tertuduh dihukum penjara 10 hari dan denda RM4,000.
Bagaimanapun, pada 15 Januari, peguam Daniel berkata Mahkamah Tinggi akan menyemak keputusan tersebut.
Prosiding semakan tersebut dilakukan mengikut peruntukan di bawah Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah di mana ia berkait dengan kuasa hakim untuk memanggil rekod Mahkamah Rendah dan kuasa hakim untuk semakan.