- Iklan -
Berita

Rohana bukan satu-satunya kes individu tanpa kerakyatan, kata peguam

Lawyers for Liberty berkata rombakan dasar secara menyeluruh diperlukan bagi menangani punca timbulnya isu individu tanpa kerakyatan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Lawyers for Liberty menggesa penyelesaian yang komprehensif dan sistematik dilakukan bagi menangani isu individu tanpa kerakyatan di negara ini. Gambar: Bernama
Lawyers for Liberty menggesa penyelesaian yang komprehensif dan sistematik dilakukan bagi menangani isu individu tanpa kerakyatan di negara ini. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menggesa rombakan dilakukan terhadap dasar mengenai individu tanpa kerakyatan, mendesak Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin supaya bukan sekadar memberikan reaksi kepada liputan media mengenai beberapa individu berkait isu itu selepas beliau memberi respons terhadap seorang gadis yang dibesarkan seorang wanita Cina ketika ditinggalkan ibunya semasa masih bayi.

Penyelaras LFL Zaid Malek menyambut baik kenyataan Hamzah yang mengatakan sedang meneliti kes Rohana Abdullah namun mengatakan sebagai menteri, beliau perlu bertanggungjawab ke atas “penderitaan puluhan ribu orang muda seperti Rohana yang secara tidak adil dinafikan kerakyatan”.

“Kami tahu ini bukan kes terpencil. Terdapat puluhan ribu kanak-kanak dan dewasa yang mengalami situasi yang sama seperti Rohana di seluruh negara dan penderitaan mereka patut diberi perhatian yang sama rata.

“Tidak cukup hanya berikan reaksi terhadap liputan berita mengenai satu isu dan membuat janji untuk ambil tindakan, namun kemudiannya tetap mengabaikan puluhan ribu lagi yang mempunyai masalah serupa seperti Rohana,” katanya dalam satu kenyataan.

“Penyelesaian secara reaktif tidak cukup. Isu individu tanpa kerakyatan ini mesti ditangani secara menyeluruh dan sistematik bagi menyelesaikannya hingga ke punca masalah.”

Rohana, 22, ditinggalkan semasa masih bayi di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) tempat ibu kandungnya yang merupakan warga Indonesia, bekerja sebagai tukang cuci.

Dia kemudiannya diambil dan dibesarkan sebagai anak sendiri oleh Chee Hoi Lan yang merupakan guru taska tersebut.

Pada 2016, Rohana memohon kewarganegaraan Malaysia namun tidak menerima sebarang maklum balas.

Semalam, dalam sebuah hantaran Facebook, Hamzah berkata bahawa beliau “tersentuh” ​​dengan cerita Rohana.

“(Saya) telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” tambahnya.

Zaid berkata Hamzah harus sedar bahawa Rohana dan lain-lain sepertinya adalah “mangsa proses birokrasi yang disengajakan di mana ia terus gagal menegakkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan kerakyatan kepada kanak-kanak dengan kuat kuasa undang-undang”.

“Realiti yang menyedihkan mengenai perkara ini adalah nasib Rohana mungkin dibiarkan dan tidak ditangani jika ia tidak mendapat perhatian meluas dalam negara.

“Jentera pentadbiran KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak boleh bergantung hanya kepada liputan berita mengenai kes rawak, bahkan ia mesti diselesaikan dengan memastikan agensi kerajaan yang berkaitan melaksanakan peranannya selari dengan undang-undang.”