- Iklan -
Berita

Sisi gelap kehadiran ‘pelancong bencana’ di lokasi banjir

Kehadiran beberapa 'sukarelawan' ke lokasi bencana hanya sukarkan usaha menyelamat, mangsa bencana.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa sukarelawan dari Ipoh membantu penduduk Taman Sri Nanding membersihkan lumpur akibat kesan banjir yang melanda Hulu Langat.
Beberapa sukarelawan dari Ipoh membantu penduduk Taman Sri Nanding membersihkan lumpur akibat kesan banjir yang melanda Hulu Langat.

Kamarul Azizi tekun menekan butang “shutter” pada kameranya.

Dia dikelilingi mangsa banjir yang terdesak dan lapar.

Dengan perlahan-lahan dia meredah air pada paras lutut dan merakam gambar kejadian pecah masuk beberapa pasar raya, termasuk Mydin di Taman Sri Muda, Shah Alam ketika banjir pada Disember lepas.

Gambar-gambar kejadian itu dimuat naik oleh Kamarul di laman sosial.

Ia menjadi tular dan menarik perhatian mereka yang prihatin dengan nasib mangsa banjir.

Kamarul, seorang jurugambar sambilan, bagaimanapun turut menyaksikan satu fenomena lain.

Katanya, sudah banyak kali melihat kumpulan “sukarelawan” yang sebenarnya datang bukan untuk membantu.

Ketika ramai lagi rakyat Malaysia yang ikhlas turun ke lokasi bencana bagi menghulurkan tangan, segelintir hanya datang untuk melihat dan mengambil kesempatan.

“Kawasan bencana bukan taman hiburan untuk mereka yang datang hanya untuk bergambar depan telefon,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sewajarnya mereka ambil iktibar dan insaf atas kejadian itu.”

Katanya, selain ingin merasai sendiri pengalaman di tempat bencana, fenomena “voluntour” itu diburukkan dengan kegilaan terhadap media sosial.

“Mereka datang untuk buat kandungan di media sosial dan tidak hormat pada tuan rumah yang ditimpa musibah.”

Bukan hanya di Malaysia

Fenomena ini turut berlaku di luar negara.

Di negara jiran Indonesia, gempa bumi 7.5 skala richter menggegarkan pulau Sulawesi pada 2018.

Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat oleh kumpulan antarabangsa berdepan kesukaran dan kelewatan ekoran kehadiran orang asing yang tidak terlatih untuk memberi bantuan.

Pihak berkuasa ketika itu terpaksa mengehadkan penerbangan ke pulau itu bagi membendung kumpulan “pelancong bencana”.

Di Amerika Syarikat, fenomena taufan yang sering berlaku di beberapa negeri turut menarik kehadiran kumpulan yang dipanggil pengejar taufan, atau “storm chasers”.

Dr Shalimar Abdullah, salah seorang naib presiden Mercy Malaysia berkata, kehadiran kumpulan pelancong bencana itu, jika tiada koordinasi, hanya akan menyusahkan mangsa banjir dan usaha menyelamat.

“Ramai orang datang tapi tidak memberi pertolongan atau beri pertolongan seperti melepaskan batuk di tangga.

“Pada masa yang sama, kenderaan mereka mengakibatkan kesesakan trafik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kesesakan trafik dapat dilihat di Bukit Lanchong di Subang, Selangor ketika banjir baru-baru ini apabila ramai orang hadir ke lokasi, sehingga menyukarkan pergerakan trak pasukan penyelamat.

Selain itu, kumpulan itu juga dilaporkan menggunakan sumber yang bertujuan dihantar kepada mangsa banjir.

“Mereka rasa mereka sudah beri perkhidmatan, dan berhak mendapatkan makanan di masjid yang menjadi pusat pengumpulan barangan, namun sebenarnya makanan itu disediakan untuk mangsa banjir.”

Kejadian yang sama katanya turut dilihat semasa banjir buruk di Kelantan pada 2014 apabila terlalu banyak kenderaan yang datang hanya untuk bergambar.

Katanya, mereka yang menginap di hotel akan menggunakan sumber air dan elektrik yang kritikal.

“Di kawasan bandar, mungkin perkara ini tidak memberi kesan, tetapi di kawasan kampung, ia menjejaskan mangsa,” jelas Shalimar yang berada di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ketika kejadian.

Katanya, kerja-kerja kemanusian menuntut perancangan yang baik.

Di Mercy Malaysia contohnya, pertubuhan itu mempunyai perancangan jangka masa sederhana dan panjang.

“Pada peringkat awal, memang semua orang datang tolong, tapi macam sekarang, mangsa banjir bulan lepas masih memerlukan pertolongan dari segi kerja-kerja pembaikan rumah,” katanya.

Tambah Shalimar, pihak berkuasa boleh memberikan kursus atau latihan kepada orang awam yang berminat untuk menjadi sukarelawan.

Dengan memberikan gambaran mengenai usaha menyelamat, mereka tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berada di lokasi bencana.

Dalam pada itu, Kamarul menambah, ada juga sukarelawan yang membantu “membersihkan” semua barangan di rumah mangsa termasuklah barangan yang masih boleh digunakan.

“Seharusnya sukarelawan bertanya dahulu dengan tuan rumah sebelum barangan tersebut dibuang bukannya menambah lagi kerugian dan kedukaan mangsa banjir.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.