- Iklan -
Berita

PRS berdepan kelompongan kuasa dan masalah selepas kematian Masing

Cabaran terbesar yang bakal dihadapi parti itu ialah menentukan siapa pengganti presidennya, yang pernah menjadi Adun Baleh dan juga timbalan ketua menteri.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Walaupun menghadapi pergelutan dalaman, Parti Rakyat Sarawak tetap berjaya menyumbang 11 kerusi DUN kepada GPS pada PRN Sarawak tahun lalu.
Walaupun menghadapi pergelutan dalaman, Parti Rakyat Sarawak tetap berjaya menyumbang 11 kerusi DUN kepada GPS pada PRN Sarawak tahun lalu.

Ketika perintah darurat di Sarawak ditamatkan pada awal November tahun lalu yang membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan selepas tertangguh beberapa lama, Parti Rakyat Sarawak (PRS) masih dalam keadaan berkabung ekoran kematian mengejut presidennya, ahli politik veteran James Jemut Masing.

Ketika parti-parti lain sibuk menggerakkan jentera pilihan raya, pemimpin PRS sedar parti mereka sendiri sedang menghadapi masalah kelompongan kuasa.

Selain memegang jawatan sebagai presiden PRS, Masing juga turut mewakili kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh sejak 1983 dan pemimpin parti perlu bergerak pantas bagi meletakkan calon baru untuk menggantikan mendiang.

Bagaimanapun, untuk mencari pemimpin baru adalah satu cabaran yang sukar buat parti itu.

Bertekad untuk mempertahankan kerusi yang pernah diwakili parti di kerusi DUN itu, Timbalan Presiden PRS Joseph Salang mengambil alih tanggungjawab presiden, mencari jalan untuk memulihkan keadaan politik dalaman parti itu agar tenang demi mengelakkan perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin.

Ketika PRN yang diadakan pada 18 Disember, PRS berjaya mempertahankan 11 kerusi yang disandangnya, termasuk Baleh di mana anak saudara Masing, Nicholas Kudi Jantai Masing dicalonkan.

Lima Adun PRS juga kemudiannya dilantik menganggotai Kabinet baru negeri.

Penganalisis politik Sarawak Lucy Sebli dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata pelantikan itu merupakan motivasi yang sangat diperlukan PRS selepas kehilangan Masing.

“Keputusan menunjukkan parti itu tetap bersatu, dan menyumbang 11 kerusi DUN untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

“Walaupun menghadapi pergelutan dalaman yang sengit di mana kumpulan atau individu tertentu sibuk berebut jawatan kepimpinan tertinggi, PRS bagaimanapun tetap menunjukkan prestasi yang baik.”

Barisan Kabinet baru turut menyaksikan Adun Kakus John Sikie Tayai dilantik sebagai menteri di Jabatan Ketua Menteri manakala empat lagi anggota PRS dilantik sebagai menteri muda.

Adun Samalaju Majang Anak Renggi, satu-satunya muka baru parti itu turut dilantik sebagai menteri muda pembangunan infrastruktur dan pelabuhan; Adun Batang Ai Malcolm Mussen anak Lamoh dilantik sebagai menteri muda perdagangan antarabangsa dan pelaburan; Adun Ngemah Liwan Lagang, menteri muda utiliti dan telekomunikasi; sementara Adun Balai Ringin Snowdan anak Lawan dilantik sebagai menteri muda industri kreatif dan seni persembahan.

Namun, orang nombor dua PRS yang menggalas jawatan ketua, Salang menegaskan kepimpinan negeri masih memerlukan perwakilan Iban yang lebih kuat.

“Saya lebih sedih kerana kurangnya perwakilan PRS dalam Kabinet baru negeri,” kata Salang yang gagal dalam percubaannya menghubungi Ketua Menteri Abang Johari Openg untuk berunding mengenai jawatan menteri kepada MalaysiaNow.

Presiden baru diperlukan

Menurut pemerhati politik Sarawak James Chin, PRS mesti terlebih dahulu menyelesaikan isu kepimpinan partinya sebelum membuat sebarang rundingan rasmi mengenai parti itu.

Katanya, dengan kekosongan jawatan presiden, sangat penting bagi PRS untuk memilih pemimpin baru.

“Sukar untuk PRS mengetuai rundingan kerana ia tidak mempunyai pemimpin yang jelas,” kata Chin kepada MalaysiaNow.

Satu lagi masalah berhubung Salang, beliau juga perlu berada dalam Kabinet negeri jika ingin memimpin parti.

“Pada masa ini, hanya John Sikie Tayai yang layak,” kata Chin sambil menambah PRS mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat keputusan mengenai pengganti Masing.

Masing memang terkenal dengan sifat lantangnya sejak awal pembabitannya dalam politik.

Di Sarawak, beliau juga dikenali sebagai jeneral orang Dayak yang tidak pernah jemu menggesa komuniti itu khususnya golongan belia untuk memperjuangkan hak sebagai bumiputera.

Menurut Lucy, sikap atau pendirian yang dipegang Masing itu perlu diambil kira oleh PRS dalam memilih pemimpin baru.

Sebarang langkah untuk memilih presiden baru mesti dilakukan pada sesi penuh mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi parti itu, namun masih belum ada perancangan dibuat untuk sesi pemilihan seperti itu.

Namun itulah satu-satunya cara PRS dapat menuntut lebih banyak jawatan politik, kata Chin.

PRS lwn PDP

Satu lagi masalah yang dihadapi PRS ialah kedudukan mendiang Masing sebelum ini yang merupakan timbalan ketua menteri yang dilantik pada 2017 oleh Adenan Satem.

Pelantikan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian sebagai timbalan ketua menteri dalam barisan anggota Kabinet baru boleh membawa maksud PRS kehilangan suaranya.

Chin berkata pelantikan Sim bagi menduduki jawatan itu adalah susulan kemenangan SUPP di 13 kerusi pada PRN baru-baru ini – satu pencapaian yang hampir dua kali ganda berbanding jumlah kerusi dimenanginya pada PRN lima tahun sebelumnya.

“Satu perkara penting yang dapat dilihat dari PRN baru-baru ini ialah SUPP kini mempunyai lebih ramai Adun berbanding PRS,” katanya.

“Hal tersebut, sudah tentu akan mengubah dinamik yang wujud dalam GPS secara keseluruhannya.”

Beliau juga memberi amaran bahawa pergelutan dalaman akan membuka peluang kepada parti komponen GPS lain untuk mengambil alih kerusi PRS.

“Jika (PRS) tidak pilih pemimpin yang kuat dan boleh menyatukan parti, bahayanya, orang lain pula akan datang mengganggu (peruntukan kerusi),” katanya.

Chin berkata pesaing PRS yang paling menonjol adalah Parti Demokratik Progresif (PDP) di mana ia dilihat memiliki persamaan dengan PRS dari sudut falsafah politik dan struktur organisasi.

“Apa yang bezanya, PRS diketuai oleh Iban, sementara PDP diketuai Cina,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.