Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu hari ini menegaskan semua pihak perlu memastikan agensi kerajaan yang menjalankan tanggungjawab dilindungi daripada kepentingan diri, susulan hasil siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Menurutnya, pihak yang mahu terus menggembar-gemburkan dan memanipulasi kes tersebut mempunyai agenda politik dan menggesa mereka akur dengan hasil siasatan SC berhubung Azam.
“Penjawat awam adalah tiang kerajaan dan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan semua agensi kerajaan yang gigih menjalankan amanat dan tanggungjawab mereka dilindungi daripada pihak-pihak yang mempunyai agenda kepentingan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Faizal itu dilihat mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana mempersoalkan keputusan siasatan SC berhubung dakwaan konflik kepentingan membabitkan Azam.
Sedangkan, kata Faizal sejak awal lagi PH yang menggesa siasatan SC terhadap Azam.
“Namun, apabila SC membuat keputusan, maka SC dipersoal.
“Nampaknya PH sedang memerangi penjawat awam yang berdedikasi dan komited menjalankan amanah mereka demi agenda politik yang sempit dengan memperlekehkan kerajaan dan institusi kerajaan seperti SPRM dan
SC,” katanya.
PH juga mendesak Azam “direhatkan” bagi memberi jalan siasatan ke atasnya dilakukan.
Bukan sahaja Azam, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang turut menjadi sasaran gabungan di mana mereka mendesak siasatan dilakukan terhadapnya susulan kenyataannya yang membersihkan Azam daripada sebarang konflik kepentingan dalam pemilikan saham tersebut pada 5 Januari lalu.
Dalam pada itu, Faizal berharap suara-suara yang berkeras untuk terus memainkan kes Azam akur dengan keputusan SC dan menghormati autoriti SC yang menjalankan tugasnya tanpa sebarang campur tangan menurut undang-undang.
“Ini bukan sahaja tidak tulus, malah bersifat tidak patriotik dan meruntuhkan semangat utuh perkhidmatan awam, sekaligus mengkompromi masa depan negara demi agenda politik semata-mata.
“Maka dengan itu, saya berharap suara-suara yang berkeras untuk terus memainkan kes ini akur dengan keputusan SC dan menghormati autoriti SC yang telah menjalankan tugasnya tanpa sebarang campurtangan menurut undang-undang,” katanya.