- Iklan -
Berita

Ketua hakim syarie fail saman fitnah RM30 juta terhadap Lokman Adam

Lokman didakwa memfitnah ketua pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam. Gambar: Bernama
Bekas ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam. Gambar: Bernama

Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang “Datin.”

Na’im, 54, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 17 Januari lepas dan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Na’im yang juga ketua pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa defendan telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook “Lokman Noor Adam Official” pada 10 Januari dan 13 Januari lepas.

Plaintif mendakwa Lokman juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Januari dan 14 Januari selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Januari dan 13 Januari lepas.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin yang berkredibiliti dengan akhlak yang terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Na’im mendakwa siaran langsung dan hantaran itu telah tersebar kepada pihak ketiga kerana Facebook serta YouTube milik defendan dapat ditonton dan dikomen oleh masyarakat umum.

“Defendan menerbitkan kenyataan itu dengan matlamat bahawa perkara yang sama akan diterbitkan dalam negara dan di peringkat antarabangsa melalui media elektronik serta media cetak,” dakwa plaintif dalam tuntutan itu.

Menurut plaintif, satu laporan polis telah dibuat pada 12 Disember tahun lepas bagi menafikan dakwaan dan tuduhan palsu “Datin” terbabit terhadapnya dan beliau juga telah membuat laporan polis terhadap Lokman agar pihak polis membuat siasatan berhubung tindakan defendan.

Plaintif berkata notis tuntutan  bertarikh 13 Januari lepas dikeluarkan terhadap defendan supaya menarik balik kenyataan fitnah serta memadamkan hantaran di Facebook selain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam namun sehingga hari ini, defendan tidak mengendahkan laporan polis dan notis itu.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu telah menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, mencalarkan imej, menjatuhkan maruah dan merendahkan statusnya di mata masyarakat umum.

Oleh itu, plaintif memohon suatu injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

Plaintif juga menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi  teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah atas jumlah penghakiman sebanyak lima peratus setahun yang dikira dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Menerusi semakan mahkamah, permohonan injunksi itu akan didengar esok di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff manakala pengurusan kes ditetapkan pada 21 Februari ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.