Ketika penganut Hindu di kebanyakan tempat di seluruh negara menyambut perayaan Thaipusam di bawah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat semalam, sambutan itu dilihat suram terutama di Sarawak di mana masyarakat India hanya menyumbang 2% kepada populasi.
Sebelum pandemik Covid-19, sambutan Thaipusam biasanya diadakan secara meriah mirip sambutan di semenanjung walaupun dalam skala yang lebih kecil.
Mereka akan melaksanakan upacara menjunjung belanga sementara sebahagian yang lain akan mula mencucuk tubuh dengan cangkuk besi sebelum berjalan sejauh 3km dari Kuil Seri Maha Mariamman menuju Kuil Srinivasagar di Kuching.
Bagaimanapun, sejak pandemik melanda dua tahun lalu, kemeriahan perayaan itu dilihat semakin suram.
Walaupun pihak berkuasa memberikan kebenaran untuk mengadakan upacara sambutan Thaipusam pada sebelah pagi, ramai yang mengatakan suasana masih kurang meriah.
“Bahagian yang paling membuatkan kami tidak sabar untuk menyambut Thaipusam adalah upacara perarakan,” kata Gangespare Subramaniam yang berusia, 41 tahun kepada MalaysiaNow.
“Sambutan tahun ini sangat sederhana kerana kuil tidak dibenarkan untuk menjalankan upacara perarakan.”
Bagaimanapun, mereka gembira kerana berpeluang untuk menyambutnya walaupun dalam skala kecil berbanding tahun lalu di mana penganut Hindu dilarang sama sekali menjalankan upacara sambutan itu.
Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mewartakan cuti umum bagi sambutan Thaipusam dan Deepavali.
Kira-kira 4,000 orang kaum India di negeri itu, kebanyakan mereka adalah daripada komuniti Tamil.
Walaupun Sarawak adalah negeri paling besar dalam negara, ia hanya memiliki lima buah kuil Hindu: tiga kuil terletak di Kuching dan sebuah kuil di Miri dan Sibu.
Presiden Kuil Srinivasagar Kaliamman V Sahundararaju berkata hampir kesemua komuniti India di Sarawak tinggal di Kuching.
“Ada sebahagian di Sibu, namun sangat jarang untuk jumpa orang India di kawasan lain negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Gangespare berkata lebih sukar untuk menyambut Thaipusam di Sarawak kerana penganut Hindu perlu merancang lebih awal dan mengambil cuti kerja.
“Kanak-kanak pula perlu cuti sekolah.
“Sarawak sekurang-kurangnya harus isytihar cuti umum bagi sambutan Deepavali untuk menunjukkan semangat Sarawak yang sebenar,” katanya.