Malaysia bersedia untuk meratifikasi perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia meliputi 15 negara dengan akses pasaran kepada 2.2 bilion penduduk, di mana ia mewakili KDNK global sebanyak AS$25.8 trilion.
Kementerian perdagangan antarabangsa dan industri berkata Malaysia akan menjadi negara ke-12 yang menandatangani perjanjian Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 18 Mac depan.
Malaysia akan menyertai Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Kora Selatan yang sudah menyelesaikan proses ratifikasi kerjasama tersebut.
“Dalam kalangan negara-negara anggota Asean, Malaysia dijangka menerima manfaat terbesar Perjanjian ini dari segi eksport, dengan unjuran nilai peningkatan eksport sebanyak AS$200 juta.”
Memetik laporan UNCTAD yang diterbitkan pada 15 Disember tahun lepas, ia berkata manfaat keuntungan tersebut akan dihasilkan berikutan penghapusan dan pengurangan tarif bagi barangan dagangan, termasuk kemudahan eksport dan import barangan di kalangan negara RCEP.
“Penyedia perkhidmatan termasuk e-dagang akan dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar menerusi peningkatan bekalan rentas sempadan serta menggalakkan keberadaan dan penglibatan mereka di pasaran RCEP,” tambahnya.
Ia juga berkata RCEP akan menjadi penggerak utama bagi negara dalam menggiatkan semula aktiviti perniagaan domestik dan antarabangsa akibat pandemik Covid-19.
“Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan ekonomi terbuka dengan dasar mesra perniagaan dan pragmatik bagi terus memupuk iklim perdagangan dan pelaburan yang kondusif di negara ini.” katanya.