Taikun sektor penerbangan Britain Richard Branson tidak berpuas hati dengan respons daripada kerajaan Singapura berhubung gesaannya pada November lalu yang mahu republik itu menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang warga Malaysia yang merupakan OKU, susulan rayuannya untuk menggugurkan hukuman itu sekali lagi ditangguh.
Bilionair itu turut memberitahu Vice World News beliau menerima surat panjang dari kementerian dalam negeri Singapura berhubung kritikan terbukanya terhadap hukuman tersebut, namun menjelaskan ia tidak akan mengubah pandangannya mengenai pelaksanaan hukuman terhadap Nagaenthran K Dharmalingam atau bantahannya terhadap hukuman mati.
“Saya terima surat panjang dari kerajaan Singapura yang menjelaskan hujah mereka berhubung isu tersebut.
“Kerajaan Singapura mungkin akan jadi sangat bagus dengan menghapuskan sama sekali hukuman mati,” katanya dalam temu bual bersama laman sesawang berita tersebut.
Bagaimanapun, Branson enggan mendedahkan kandungan surat tersebut.
Hukuman mati terhadap Nagaenthran yang mempunyai IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 di mana seseorang itu boleh diisytiharkan sebagai orang kurang keupayaan intelek – menarik kemarahan umum sehingga pemimpin Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut mengutus surat untuk merayu pengampunan terhadap Nagaenthran.
Nagaenthran diberikan penangguhan hukuman selepas didiagnosis Covid-19 sebelum usaha akhir untuk merayu hukuman ke atasnya pada 9 November 2021.
Berikutan pemulihannya dari jangkitan, pendengaran rayuan bagi menggugurkan hukuman mati ke atasnya dijadualkan pada 24 Januari, namun menurut Singapore Anti-Death Penalty Campaign, pendengaran itu ditangguh ke Februari depan.
Di sebalik kemarahan orang ramai, Singapura bertegas mengatakan Nagaentran sedar mengenai tindakannya dan mendakwa dia memalsukan keadaan mentalnya dengan mengubah kelayakan akademik bagi menunjukkan dia memiliki IQ rendah.
Nagaenthran didapati bersalah menyeludup dadh pada 2010, setahun selepas ditahan kerana membawa masuk 43g heroin ke Singapura.
Kerajaan Singapura sering mendakwa undang-undang kerasnya itu dapat mencegah jenayah berkait dadah.
Namun pengkritik berkata kebanyakan daripada mereka yang disabitkan bersalah atas jenayah itu adalah dalam kalangan keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, sementara dalang sebenar jenayah yang menggunakan mereka sering terlepas daripada hukuman.
Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Branson dalam surat terbukanya kepada Presiden Singapura Halimah Yacob.
“Tahun demi tahun, orang ramai hadapi hukuman gantung, ditembak mati, atau – di Filipina yang dipimpin Duterte – skuad kematian yang tidak telus menjalankan hukuman bagi jenayah berkaitan dadah.
“Namun, perdagangan dadah global terus berkembang, dan semua jenis dadah terlarang lebih mudah didapati di seluruh dunia berbanding mana-mana titik lain dalam sejarah.
“Jika pencegahan adalah objektif, undang-undang ini gagal dengan teruk. Dan ia akan terus gagal,” tulis Branson.