- Iklan -
Berita

Sesuaikah bekerja empat hari seminggu dilaksanakan di Malaysia?

Persoalan timbul mengenai kos, produktiviti dan bayaran gaji kepada pekerja sekiranya waktu bekerja dipendekkan kepada empat hari.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Cadangan bekerja empat hari seminggu menjadi perbincangan selepas norma baru dijalani seluruh dunia sepanjang pandemik Covid-19 di mana majoriti pekerja terpaksa bekerja dari rumah.
Cadangan bekerja empat hari seminggu menjadi perbincangan selepas norma baru dijalani seluruh dunia sepanjang pandemik Covid-19 di mana majoriti pekerja terpaksa bekerja dari rumah.

Kira-kira 100 tahun lepas, pengasas syarikat automotif terkemuka Amerika Syarikat (AS) Henry Ford memperkenalkan model 40 jam bekerja seminggu apabila menutup kilang kenderaannya pada hari Sabtu dan Ahad.

Sebelum itu, kilangnya berfungsi tujuh hari seminggu.

Ford memberikan dua hari cuti kepada pekerjanya selepas mendapati hanya sedikit peningkatan produktiviti diperoleh jika pekerjanya berkhidmat lebih masa.

Cuti dua hari itu kemudian menerima mandat dan dipraktikkan di seluruh AS dan memberi laluan kepada idea “hujung minggu”.

Bekerja lima hari seminggu selama 40 jam kini menjadi standard waktu operasi bagi kerajaan dan pelbagai sektor swasta.

Namun idea itu turut mendapat nafas baru apabila sejak kebelakangan ini, empat hari bekerja mula menerima momentum.

Antara tujuan yang disebut ialah empat hari bekerja menawarkan lebih keseimbangan antara kehidupan dan aktiviti bekerja.

Galakkan bekerja empat hari seminggu bertambah kuat apabila pandemik Covid-19 melanda dunia pada awal 2020, apabila jutaan pekerja terpaksa bekerja dari rumah.

Awal minggu ini, United Kingdom (UK) memulakan projek rintis empat hari bekerja seminggu selama enam bulan.

Kira-kira 40 firma British mengambil bahagian dan projek tersebut yang menyaksikan para pekerja dibayar jumlah yang sama seperti lima hari bekerja.

Projek itu dianjurkan oleh badan pemikir Autonomy, Kempen 4 Hari Bekerja (4 Day Week UK Campaign) dan penyelidik di Oxford University, Boston College, dan Cambridge University.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, idea empat hari bekerja, sekiranya dilaksanakan di Malaysia akan mengakibatkan peningkatan kos dan tidak sesuai dilaksanakan tatkala majikan masih bergelut dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19 dan banjir yang melanda.

“Bagaimanapun, tiada peningkatan kos dijangka sekiranya jumlah jam bekerja sedia ada dimampatkan ke dalam empat hari, dan majikan boleh meneroka kebarangkalian melaksanakan empat hari bekerja,” katanya kepada MalaysiaNow.

Peningkatan kos akan membuatkan satu-satu perniagaan kurang berdaya saing di pasaran, sekali gus mengakibatkan syarikat kehilangan klien dan syer pasaran.

Tegasnya, faktor budaya kerja yang berbeza antara negara mesti diambil kira.

Beberapa negara Eropah yang mencuba model ini juga katanya tidak berapa berjaya.

Bagi memastikan model ini berfungsi di peringkat global, Syed Husman berkata semua negara mesti mempunyai pemikiran yang sama.

“Asia mempunyai zon masa yang berbeza dengan Amerika Syarikat. Hendak berhubung juga masih sukar. Zoom membantu tetapi mempunyai had,” katanya.

Empat hari bekerja kebanyakannya diimplementasikan dalam industri kreatif yang beroperasi dari pejabat (office-based creative industries), seperti perhubungan awam.

Dalam sektor seperti peruncitan, pendudukan dan penerbangan, hasil pekerja ialah perkhidmatan fizikal yang disediakan kepada pelanggan.

“Majikan mungkin tidak mampu membayar gaji penuh. Dalam sektor pembuatan, pekerja menghasilkan satu-satu produk yang mengambil masa tertentu untuk dikeluarkan.

“Mengurangkan hari bekerja kepada empat hari bermakna mereka tidak menghasilkan 100% kuota pembuatan,” menurut Syed Hussain.

Selain faktor kos dan produktiviti, persoalan timbul mengenai waktu kerja dan mutu perkhidmatan kerajaan sekiranya ia diimplementasikan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, meskipun idea yang diimplementasi di UK itu bukan perkara baru, ia adalah satu usaha yang harus dihargai yang boleh dicontohi sekiranya berkesan.

“Persoalan mengenai waktu bekerja singkat dan kesannya terhadap produktiviti pekerja bukanlah sesuatu yang baru dan teori kualiti melawan kuantiti menjadi isu yang diperdebatkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Terdapat kajian yang menyatakan bahawa dalam tempoh lapan jam bekerja, hanya tiga jam sahaja seseorang pekerja itu benar-benar produktif.”

Syed Hussain berkata, produktiviti kini menjadi elemen yang sukar diukur.

“Ia dahulu dikira menerusi kuantiti pengeluaran pekerja. Dalam era digital, produktiviti diukur dengan kualiti pengeluaran.”

Begitupun, menurut Adnan, Cuepacs berpendapat sistem sedia ada yang diguna pakai di Malaysia masih berkesan, terutama dengan pengenalan bekerja dari rumah, dan jadual waktu kerja fleksibel untuk kakitangan kerajaan.

Katanya, pelaksanaan bekerja dari rumah perlu ditambah tabik terutama penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Adnan berkata, tiada guna waktu bekerja singkat tetapi pekerja terpaksa melakukan kerja tambahan untuk menampung pendapatan yang tidak mencukupi akibat kenaikan kos sara hidup.

“Ia tidak mencapai hasrat atau objektif pelaksanaan sistem bekerja yang pendek ini.

“Ketika ini rata-rata kumpulan pekerja masih lagi menikmati gaji di bawah paras garis kemiskinan negara dan berada dalam kelompok B40.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.