- Iklan -
Berita

PN sedia hadapi PRN Johor bila-bila masa, kata Muhyiddin

Walaupun menjadi sebahagian kerajaan negeri, PN tidak dirunding terlebih dahulu dalam keputusan membubarkan DUN Johor.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini berkata gabungan itu bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bila-bila masa susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabtu lalu, mengatakan rundingan dengan parti komponen akan diadakan bagi memuktamadkan kerusi yang bakal ditandingi.

Muhyiddin yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir berkata, walaupun berada dalam kerajaan negeri, PN tidak dirunding terlebih dahulu dalam keputusan pembubaran DUN Johor.

“Sekiranya diberikan mandat oleh rakyat negeri Johor dalam PRN ini, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Johor,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru pengundi yang layak mengundi supaya keluar mengundi selain turut mengalu-alukan pengundi muda.

“Saya mengalu-alukan semua pengundi baru termasuk pengundi berumur 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor.

“Tunaikanlah hak dan tanggungjawab anda secara bijaksana,” katanya.

DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ia merupakan PRN keempat bakal diadakan sejak pandemik melanda.

Ketika ini, secara keseluruhannya, Barisan Nasional (BN) memegang 28 kerusi yang terdiri dari Umno (14), Bersatu (11) dan PAS (satu), sementara Pakatan Harapan (PH) memegang 27 kerusi yang terdiri dari DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

PRN yang bakal diadakan di Johor kali ini menyusuli PRN Sarawak pada Disember tahun lalu di mana ia dimenangi Gabungan Parti Sarawak dengan meraih 76 dari 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sebelumnya, PRN Melaka turut diadakan di mana ia menjadi PRN pertama dilaksanakan selepas perintah darurat ditarik semula.

Pada PRN Melaka, BN memenangi 21 dari 28 kerusi DUN.

Sementara PH hanya memenangi lima kerusi manakala PN hanya memenangi dua kerusi.

Sebelum perintah darurat diisytiharkan di seluruh negara pada Januari 2021, Sabah juga turut mengadakan PRN.

Bagaimanapun, pelaksanaan PRN di negeri itu menyebabkan peningkatan kes Covid-19 akibat pergerakan pengundi dan jentera pilihan raya yang aktif sepanjang tempoh diadakan.