- Iklan -
Berita

Logo PKR atau PH? PRN Johor akan tentukan, kata penganalisis

Keputusan PKR untuk menggunakan logo parti sendiri akan tunjukkan sama ada ia boleh digunakan secara keseluruhan oleh gabungan itu, kata Hisommudin Bakar.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah motosikal melalui deretan bendera Pakatan Harapan yang digantung di perkampungan Portugis.
Sebuah motosikal melalui deretan bendera Pakatan Harapan yang digantung di perkampungan Portugis.

Keputusan PKR menggunakan logo sendiri pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan susulan beberapa kekalahan yang direkodkan tahun lalu akan menjadi referendum rasmi sama ada gabungan Pakatan Harapan (PH) perlu mempertimbangkan untuk menggunakan logo PKR mewakili gabungan itu berbanding logonya, kata penganalisis politik.

PKR yang dipimpin Anwar Ibrahim merangkap pengerusi PH dan calon perdana menteri gabungan tersebut mengalami beberapa kekalahan teruk pada pilihan raya di Sabah, Melaka dan Sarawak pada 2020 dan 2021.

Parti itu tidak memnangi sebarang kerusi di Sarawak dan Melaka sementara di Sabah, ia hanya dapat memenangi dua kerusi dari tujuh kerusi ditandinginya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri berbanding DAP dan Amanah yang kekal menggunakan logo PH menunjukkan parti itu ingin menguji kekuatan sendiri.

Katanya, jika keputusan tersebut dilaksanakan pada PRN Johor, hasilnya akan menunjukkan apakah logo PKR tersebut mampu mengumpulkan sokongan pengundi.

Ini juga akan menjadi pertimbangan kepada gabungan PH, tambahnya.

“PH perlu membuat kajian penerimaan rakyat terhadap logo ini secara spesifik,” kata Hisommudin kepada MalaysiaNow.

“Jika logo PKR lebih diterima, parti lain perlu akur untuk menjadikan logo itu sebagai logo bersama. Mudahnya, PH perlu konsensus memilih satu logo untuk dijadikan asas kekuatan mereka menghadapi lawan.”

Terdahulu, Amanah dan DAP berkata mereka tidak akan “meninggalkan” PH walaupun PKR mengambil keputusan untuk menggunakan logo sendiri pada PRN Johor kali ini.

Mereka turut berkata sekutu politik dan rakan kongsi dalam sesebuah gabungan harus terus bersama sewaktu susah mahupun ketika senang.

“Sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama,” katanya.

Hisommudin turut berkata keputusan pada PRN Johor akan menunjukkan logo yang manakah lebih diterima oleh majoriti penyokong PH.

“Dalam perspektif yang lain keputusan PRN kelak akan menjadi referendum rasmi berkenaan logo manakah yang lebih diterima oleh majoriti pengundi PH dan akan menjadi kayu ukur sebenar strategi dalam PRU15 nanti,” katanya.

‘Kestabilan’

Hisommudin juga turut mengingatkan keputusan PKR untuk bertanding menggunakan logo sendiri mungkin tidak dapat meyakinkan pengundi yang lebih memilih kestabilan.

“Pimpinan PH mungkin boleh menyatakan bahawa ini adalah keterbukaan mereka dalam membuat keputusan, tetapi bagi pengundi termasuklah penyokong PH melihat ini sebagai perpecahan yang ditunda,” katanya.

“Dalam isu logo pun gagal diselesaikan dengan muafakat, maka apa jaminan PH tidak berantakan selepas menang?

“Keputusan menggunakan logo berbeza memberikan gambaran kepada pengundi sememangnya ada keretakan dalam yang disembunyikan oleh PH.”

Pemimpin PH mengakui wujud “perbezaan pendapat” berhubung keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri namun berkata Majlis Presiden PH bersetuju dan menghormati keputusan parti tersebut.

Bagaimanapun, menurut Hisommudin, walaupun persetujuan dicapai pemimpin tinggi PH, ia juga turut membuktikan DAP dan Amanah tidak sekata dengan PKR berhubung penggunaan logo gabungan itu.

“PH sebenarnya masih gagal mengatasi persefahaman dan kejituan jentera mereka dalam siri-siri pilihan raya sebelum ini,” katanya.

“Keputusan sebegini menggambarkan ketidaksepakatan parti pembangkang terbesar ini tidak meyakinkan pengundi untuk mengundi PH.”