- Iklan -
Berita

Mampukah PKR berjaya dengan logo sendiri di Johor?

Penganalisis meramalkan parti itu sekali lagi bakal alami kekalahan teruk pada PRN Johor akan datang.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Aktivis Pakatan Harapan memacakkan bendera gabungan itu pada PRN Melaka tahun lalu.
Aktivis Pakatan Harapan memacakkan bendera gabungan itu pada PRN Melaka tahun lalu.

Pemerhati politik tidak yakin strategi PKR untuk menggunakan logo sendiri berbanding logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang akan mengubah nasib malang parti itu yang kalah teruk pada beberapa PRN yang diadakan sejak pilihan raya umum (PRU) lalu.

Keputusan itu diumumkan oleh pemimpin PH dalam sebuah kenyataan ketika persepsi yang semakin meningkat dalam gabungan PH bahawa pemimpin PKR Anwar Ibrahim yang juga pengerusi gabungan dan calon perdana menterinya, adalah punca gabungan itu sukar untuk kembali berkuasa.

Seorang sumber dalaman DAP baru-baru ini memberitahu MalaysiaNow tentang rasa tidak puas hati berhubung “dominasi” yang berterusan oleh PKR yang terus menuntut peruntukan kerusi paling besar dalam setiap pilihan raya yang disertai gabungan itu.

“Tiga pilihan raya lepas, di Sabah, Melaka dan Sarawak, hanya menunjukkan bahawa peranan ‘abang besar’ PKR tidak lagi boleh diterima sekutu,” kata sumber itu.

Seorang pemimpin PKR Johor ketika dihubungi menafikan keputusan itu menunjukkan keretakan dalam PH.

“Langkah itu sudah lama dijangka. Kami yakin parti kami mempunyai kumpulan penyokong tersendiri di kawasan tertentu, itu sahaja. Tidak seperti DAP, ia tidak terlalu terancam dengan kehilangan sokongan daripada pengundi tradisinya,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

“Bagi Amanah pula, parti itu bergantung kepada ihsan DAP berhubung kerusi untuk bertanding, kerana Amanah bergantung kepada undi bukan Melayu untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).”

Beberapa jam selepas pengumuman tersebut, seorang pemimpin PKR mempertahankan tindakan parti itu menggunakan logo sendiri, mengatakan ia perlu menjarakkan diri daripada kerajaan PH yang berusia dua tahun pimpinan Dr Mahathir Mohamad, seorang tokoh yang tidak disukai penyokong kuat PKR.

Pada 2018, PH yang ketika itu turut dianggotai Bersatu, menggunakan logo PKR berbentuk mata bujur, selepas permohonan gabungan itu untuk mendaftarkan organisasi ditolak.

Gabungan PH secara rasmi didaftarkan sebagai parti seminggu selepas ia memegang kuasa pentadbiran persekutuan pada 2018.

Bagaimanapun, gabungan itu berpecah dua tahun kemudian susulan keputusan Bersatu untuk keluar, selain perpecahan dalaman PKR sehingga menyaksikan pemimpin utamanya keluar daripada parti itu.

Nasib malang menanti PKR di Johor?

Penganalisis yang dihubungi MalaysiaNow bersetuju tindakan PKR menggunakan logonya di Johor akan memakan diri, mengatakan parti itu sedang berdepan satu lagi kekalahan teruk pada PRN yang akan diadakan di negeri selatan tanah air itu.

PKR tewas di setiap kerusi yang ditandinginya pada PRN Melaka dan Sarawak akhir tahun lalu, sementara pada PRN Sabah setahun sebelumnya, parti itu hanya memenangi dua daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.

Pemerhati politik James Chin berpendapat persepsi bahawa PKR menyebabkan ketidakstabilan politik masih wujud dalam fikiran pengundi.

Beliau berkata kekalahan parti itu di Melaka adalah satu hukuman terhadap peranan Anwar dalam mencetuskan PRN semasa pandemik.

Chin turut berkata langkah terbaru PKR untuk tidak menggunakan logo PH adalah tanda keretakan dalam gabungan tersebut, sambil menambah ia juga tidak dapat menarik pengundi yang lebih suka dengan kestabilan.

“Saya rasa Anwar sudah kehilangan hala tuju politiknya,” kata Chin kepada MalaysiaNow.

“Dia sudah salah membaca banyak perkara sejak kebelakangan ini dan saya fikir dia akan melakukan banyak kerosakan.”

Bagaimanapun, Chin berkata keadaan DAP juga tidak begitu baik, merujuk kepada kenyataan terbaru pemimpin parti itu yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

“Jadi, sudah pasti akan ada masalah di kawasan bandar,” katanya.

‘Masa untuk uji logo PKR’

Seorang penganalisis lain berkata keputusan PKR yang mahu bertanding tanpa logo PH adalah satu perkata yang membingungkan.

“Maksud saya, logo PH, tertulis ‘Pakatan Harapan’, apa yang tidak jelas lagi?” kata Oh Ei Sun, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

“Sekarang anda kata ia bawa kekeliruan dan sebagainya. Hal ini benar-benar sukar untuk dipercayai.”

Oh berkata apa yang parti itu perlukan ialah “muhasabah diri” selepas kekalahan demi kekalahan dalam PRN.

“Saya rasa inilah masalah PKR. Mereka cenderung untuk menyalahkan kekalahan mereka terhadap orang lain dan bukan parti sendiri. Mereka tidak berdepan dengan masalah mereka secara jujur, sebaliknya cenderung menyalahkan rakan kongsi lain,” kata Oh sambil menambah jenama PH masih belum gagal.

Beliau berkata PKR sudah menyalahkan parti lain sejak kalah PRN Melaka, merujuk dakwaan pemimpinnya bahawa simbol parti itu yang berbentuk mata bujur lebih menarik dalam kalangan pengundi di sana daripada logo PH.

“Jadi, biarkan sahaja mereka uji (kekuatan logo parti itu) di Johor, dan mereka akan lihat sama ada logo mereka kuat seperti didakwa,” tambah Oh.

Oh mempersoalkan kerelevanan PH secara keseluruhan dan bukan ketidakyakinan pengerusinya terhadap gabungan itu.

Beliau berkata sekutu PKR, DAP dan Amanah dilihat “agak kecewa”.

“Anwar sebagai ketua gabungan harus memainkan peranannya sebagai penyatu dalam gabungan itu.

“Apa gunanya membentuk Pakatan Harapan?” soalnya.

Sementara itu, Chin yakin wujud pertelagahan dalam PH.

Walaupun terdapat dakwaan gabungan itu memuktamadkan peruntukan kerusi antara mereka, beliau berkata tiada butiran didedahkan.

“Ini bermakna masih banyak kerusi yang belum dimuktamadkan dalam PH. Ini mengejutkan kerana semua orang tahu PRN Johor memang akan berlaku.”

* Nur Shazreena Ali turut menyumbang dalam laporan ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.