- Iklan -
Berita

Selepas kalah puluhan juta ringgit, taikun saman kasino UK kerana tidak hentikannya berjudi

Pengarah bukan eksekutif Yinson Lim Han Joeh menanggung hutang kira-kira £4 juta yang dipinjamkan kepadanya sepanjang tiga hari permainan kad di kasino.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan Lim Han Joeh.
Ahli perniagaan Lim Han Joeh.

Pengarah bukan eksekutif syarikat tenaga dan infrastruktur Yinson menyaman salah sebuah kasino terbesar Britain sebanyak £3.9 juta (RM21.9 juta), mendakwa kasino itu menyebabkannya menanggung kerugian dalam sebuah permainan kad secara berterusan selama 72 jam.

The Daily Mail melaporkan saman difailkan Lim Han Joeh berkait kredit hampir £4 juta yang diberikan kepadanya oleh Kasino Aspinalls milik Mayfair semasa sesi 72 jam permainan kad pada 2015.

Lim merupakan ahli lembaga pengarah Yinson yang turut dianggotai salah seorang pengarah Suruhanjaya Sekuriti (SC) Gooi Hoe Soon dan Sharifah Munira Syed Zaid, anak perempuan kepada pengerusi SC ketika ini.

Lim yang kalah dalam permainan itu gagal memulangkan jumlah hutangnya, dan empat tahun selepas itu, kasino tersebut disaman.

Bagaimanapun, dalam saman yang difailkan, Lim mendakwa kasino itu melanggar Akta Perjudian UK 2005, yang menyatakan “individu yang tidak berdaya harus dilindungi daripada dieksploitasi dalam perjudian”.

“Aspinalls tidak memaksa pihak pemohon berhenti dan berehat, sebaliknya kasino itu meningkatkan hutangnya kepada £2 juta,” kata laporan Daily Mail memetik saman Lim yang difailkan kepada mahkamah.

“Pemohon mengalami kekalahan berturut-turut dan kelihatan terdesak dan panik,” katanya lagi, sambil menambah kasino itu turut “mengambil kesempatan daripada keadaan pemohon yang tertekan ketika bergelut dalam percubaannya memenangi semula kekalahannya dengan memberikan lebih banyak wang dan tempoh masa untuk berjudi”.