- Iklan -
Berita

Tragedi ragut nyawa pada 2019 akibat perlombongan mangan kembali hantui Orang Asli

Tiga tahun lalu, Kuala Koh kehilangan 14 kanak-kanak selepas air sungai tercemar akibat aktiviti perlombongan mangan, kini mereka bimbang sejarah hitam itu mungkin akan berulang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Dua wanita Orang Asli Bateq di kampung mereka yang terletak di Taman Negara Kuala Koh.
Dua wanita Orang Asli Bateq di kampung mereka yang terletak di Taman Negara Kuala Koh.

Sudah empat peristiwa yang meragut nyawa dua anak dan dua cucunya berlalu, namun ia masih segar dalam ingatan Som.

Empat kanak-kanak itu yang pada mulanya hanya bermandi-manda di sungai berdekatan Kampung Orang Asli, namun ia akhirnya telah bertukar kepada tragedi.

“Masa itu mereka mandi pagi dan pulang ke rumah tak lama kemudian.

“Kemudian rasa tak sedap badan, rasa panas dan tak boleh nak makan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tidak sampai dua hari, keempat-empat kanak-kanak itu meninggal dunia.

Mereka yang lain dan turut bermandi-mandi bersama ahli keluarganya di sungai yang sama bernasib baik kerana sempat dikejarkan ke hospital untuk dirawat.

Pada 2019, negara digemparkan dengan tragedi kematian 14 Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dipercayai akibat meminum air sungai yang tercemar.

Wanita Orang Asli di Kuala Koh memayungi bayi dari terik matahari di kampung mereka.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Taufik Maidin mengesahkan punca kematian ekoran penyakit tibi dan jangkitan kuman di paru-paru atau Pneumonia, manakala timbalan menteri air, tanah dan sumber asli pada ketika itu Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menyatakan pencemaran air bukit berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih mangan.

Timbalan perdana menteri ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba melawat kawasan itu.

Ekoran lawatan tersebut, kampung itu diberikan beberapa kemudahan seperti bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

Setelah tiga tahun, kejadian itu kembali menghantui komuniti tersebut apabila lombong menggali mangan yang dikatakan menjadi punca air tercemar itu kembali beroperasi.

Penduduk Kampung Orang Asli Kua Koh mendapati lombong yang terletak beberapa kilometer dari kampung tersebut mula aktif sejak hujung tahun lalu.

Som bukan satu-satunya Orang Asli yang kehilangan keluarga.

Seorang lelaki pertengahan usia yang dikenali sebagai Papan kehilangan dua orang anak perempuannya yang berusia 13 hingga 15 tahun dalam tragedi itu.

“Mereka meninggal dalam rumah. Sebelum itu mereka mengadu makan ikan rasa macam makan racun. Mereka mengadu juga sakit leher, sakit perut,” katanya kepada MalaysiaNow.

Papan duduk sambil bercerita mengenai kehilangan anaknya perempuannya dalam tragedi sungai tercemar di Kuala Koh.

Orang Asli Batek mula menduduki kawasan kampung itu secara tetap bermula 2008 atas cadangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

Sebelum itu, komuniti Orang Asli hidup berpindah-randah di kawasan hutan Taman Negara Kuala Koh yang terletak tidak jauh dari kampung berkenaan.

Namun sejak beberapa tahun lalu, Kuala Koh menyaksikan aktiviti pembalakan dan penanaman sawit yang agresif sehingga mengubah landskap kawasan berkenaan.

Cara hidup mereka juga kian terhakis apabila kini dikelilingi ladang kelapa sawit dan bukannya hutan seperti dahulu.

Ia bermakna hasil hutan seperti rotan dan akar kayu yang dikutip dan dijual mereka juga semakin berkurangan.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, kampung itu juga sering dilawati sekumpulan gajah.

Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Jes, gajah kerap lalu di situ sejak beberapa tahun lalu namun tidak mengganggu penduduk kampung.

Namun sejak akhir-akhir ini, mereka datang ke tapak perkampungan bagi mencari makanan.

Ia mencetuskan kebimbangan mereka sekiranya kawanan gajah “naik minyak”.

Bahkan ketika tinjauan MalaysiaNow di kampung itu, Orang Asli melaporkan dua kali kehadiran kawanan gajah pada waktu petang dan malam hari yang sama.

Bagi Papan, dia melahirkan rasa kecewa kerana ada kalangan Orang Asli sendiri yang bekerja di lombong itu.

“Berapa kali dah marah. Kenapa hendak kerja lagi dengan lombong itu, sudah tahu sejarah lombong itu.

“Kalau boleh nak tutup terus la lombong itu, tapi kita ikut apa kata tok batin kita,” katanya.