- Iklan -
Berita

Cina Peranakan Terengganu pertahan identiti hadapi arus pemodenan

Walaupun ramai yang berhijrah ke bandar dan terdedah dengan kemodenan, namun ramai juga yang terus menyambut Tahun Baru Cina dengan tradisi yang mereka pegang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Sama seperti tradisi kaum-kaum lain, Yee Choo Im atau lebih dikenali sebagai Mek  memberi angpau kepada mereka yang belum berkahwin sebagai buah tangan sempena Tahun Baru Cina.
Sama seperti tradisi kaum-kaum lain, Yee Choo Im atau lebih dikenali sebagai Mek memberi angpau kepada mereka yang belum berkahwin sebagai buah tangan sempena Tahun Baru Cina.

Rumah papan berpanggung itu dari jauh kelihatan seperti rumah Melayu yang lain.

Terletak di tepi sebatang jalan di Kampung Tiruk, Kuala Terengganu, pengunjung yang memasuki pintu pagar akan disambut dengan beranda di bahagian depan.

Di sebelah kanan rumah itu terdapat garaj kayu yang dibuat sendiri, dan di belakangnya bangsal yang menempatkan dapur kayu arang.

Sekali imbas, kelihatan seperti rumah orang Melayu, namun hiasan tanglung, kad warna merah bertulisan Cina dan perhiasan berwarna merah lain mendedahkan identiti penghuninya- sebuah keluarga Cina peranakan di negeri itu.

Yee Choo Im, 72 menduduki rumah itu dengan anaknya, Chia Soon Thye.

Rumah papan itu diwarisi daripada suaminya yang meninggal pada tahun 2015.

Kebanyakan bahagian asal masih dikekalkan walaupun ada penambahan bahagian lain di belakang rumah itu.

Disebabkan kehidupan mereka dikelilingi dengan masyarakat Melayu, ianya menjadi sedikit unik kerana diraikan bersama penduduk yang tinggal berhampiran, sekali gus sambutan itu menjadi lebih meriah bagi suasana Tahun Baru Cina untuk warga peranakan Terengganu.

Yee, atau lebih dikenali dengan panggilan Mek merupakan generasi keenam Cina Peranakan Terengganu.

Menaiki tangga, bahagian depan rumah itu menempatkan altar untuk penghuninya bersembahyang.

Di ruangan lain rumah itu terdapat koleksi barangan lama dan antik, menjadikannya seakan muzium mini.

Keluarga Yee juga tidak kekok dengan media.

Bahkan, Mek pernah dipaparkan dalam sebuah poster mengenai festival peranakan Terengganu.

Seperti kaum Cina lain, mereka tidak pernah gagal memeriahkan Tahun Baru Cina.

Mek akan sibuk menyiapkan kuih bakul atau Nian Gao, yang digunakan untuk upacara agama bersempena Tahun Baru.

“10 hari sebelum Tahun Baru, saya akan mula membeli beras pulut.

“Bahan-bahan ini saya kisar sendiri, kemudian biarkan semalaman. Esoknya kukus sampai 12 jam,” katanya kepada MalaysiaNow dalam dialek Terengganu.

Mek melayani saudara mara dan tetamu yang hadir, makanan dijamu dan mereka menikmati bersama-sama. Nasi dagang, nasi lemak, ketupat, lemang dan bermacam lagi antara menu Melayu yang menjadi pilihan bagi Cina Peranakan ini.

Tidak menggunakan peralatan moden, Mek memilih untuk menggunakan dapur arang di bangsal untuk membuat kuih itu.

Ramai Cina peranakan tinggalkan kampung

Chia yang merupakan salah seorang daripada tujuh beradik itu menjelaskan, keluarganya akan beribadat kepada nenek moyang sehari sebelum tahun baru.

Pada pagi hari tahun baru, mereka akan akan bersembahyang sekali lagi pada waktu pagi sebelum mengadakan jamuan besar pada malamnya.

Ketika ditemui, Chia yang berusia 38 tahun berkata, di kampung itu kini hanya ada 10 hingga 15 buah rumah yang menempatkan keluarga Cina peranakan, berbanding 20 beberapa dekad lepas.

“Apabila generasi tua meninggal, anak mereka jual rumah kayu itu dan tak mahu duduk di sini lagi. Mereka berhijrah mencari kerja di bandar,” katanya.

Mek bersama menantunya Lua Tse Ling, melakukan upacara keagamaan bersama-sama.

Chia memberitahu, generasi pertama Cina yang menetap di Terengganu dari tanah besar China mengusahakan kebun, getah dan buah-buahan.

Mek juga bekerja memotong getah pada usia muda.

Salah seorang Cina Peranakan yang kini menetap di bandar ialah Evin Chua.

Generasi atuknya menetap di kampung itu namun dia sendiri sudah berpindah ke Ladang di Kuala Terengganu.

“Generasi sekarang lebih gemar mengenakan cheongsam pada Tahun Baru Cina. Tapi yang di kampung masih ada yang mengenakan kebaya nyonya terutama Cina Peranakan,” katanya yang bekerja di Kuala Berang.

Kehidupan yang dikelilingi orang Melayu menjadikan cara hidup mereka sebati dengan kaum itu.

Ia juga bermakna sambutan Tahun Baru Cina oleh suku kaum Peranakan akan dihadiri juga oleh orang Melayu sebagai tanda persahabatan.

Roslinah Limi yang menetap di Kuala Terengganu sering menghadiri rumah terbuka sahabat-sahabat Cina Peranakan di Kampung Tiruk.

“Di bandar memang rasa kurang sikit suasana perayaan itu. Tetapi di kampung ini, terasa ada kemeriahan dan ikatan kekeluargaan.

“Mereka pun sudah biasa berkunjung ke rumah saya pada hari raya Aidilfitri,” katanya.

Sambutan Tahun Baru Cina kali ini, meskipun ada antara anak dan saudara Mek yang tidak boleh pulang ke kampung kerana desakan kerja, dia tetap bersyukur kerana anak-anak yang menetap di Terengganu masih boleh meraikannya bersama-sama.

Di tengah-tengah arus pemodenan yang menarik generasi muda untuk berhijrah, keluarga Yee berbangga kerana dapat mengekalkan

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.