Pihak pendakwaan akan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan Rosmah Mansor untuk melucutkan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya.
Sri Ram memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa pihak pendakwaan akan memfailkan bantahan rasmi dan menyerahkan kertas mahkamah kepada pasukan pembelaan hari ini.
“Yang Arif, pasukan peguam hanya menyerahkan salinan pendakwaan pada Isnin, sejurus sebelum cuti Tahun Baharu Cina selama dua hari. Justeru, kami memerlukan masa untuk menyediakan hujahan untuk bantahan awal (PO) terhadap pelucutan itu,” katanya.
Sri Ram menambah Rosmah memfailkan usul jenayah tetapi mahukan perintah bahawa pelantikannya sebagai pendakwa raya ad hoc adalah menyalahi undang-undang dan harus dibatalkan.
“Perintah yang diminta hanya boleh diberikan melalui semakan kehakiman. Mahkamah Tinggi Jenayah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan relif yang diminta. Ini benar-benar penyalahgunaan proses mahkamah,” kata Sri Ram.
Hakim Zaini kemudian menangguhkan prosiding hari ini dan menetapkan 17 dan 18 Februari untuk mendengar bantahan awal dan permohonan untuk membatalkan kelayakan itu.
Mahkamah juga akan mendengar permohonan kedua Rosmah agar Zaini menarik diri daripada mendengar kes itu dan menangguhkan perbicaraan kes tersebut sementara menunggu permohonannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan kelayakan hakim berkenaan.
Ini adalah kali kedua Rosmah memfailkan permohonan selepas hakim Zaini – yang juga mendengar perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek tenaga solar – menolak permohonan Rosmah untuk menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu pada 14 Disember.
Rosmah, 70, dalam afidavit sokongan yang difailkan dengan notis usul untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai, mendakwa Peguam Negara Idrus Harun telah bertindak di luar bidang kuasanya apabila beliau melantik Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya kanan untuk mengetuai siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan membuat pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.
Rosmah berkata selepas meneliti surat pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai timbalan pendakwa raya kanan bertarikh 21 Mei 2021, di bawah Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah, beliau mendapati pelantikan itu tidak merujuk kepada kesnya.
Beliau berkata jika mahkamah berpendapat bahawa Idrus telah bertindak secara teratur selaras dengan kuasa berkanunnya, maka Sri Ram masih bukan individu yang “layak dan sesuai” untuk mendakwa dalam kes itu.
Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.