Sebuah sekolah di Kuching meriah dengan kehadiran kanak-kanak yang teruja bertegur sapa sesama mereka selepas dua tahun berpisah akibat pandemik Covid-19.
Di rumah dan di pejabat, ibu bapa pula menghela nafas lega, namun rasa gembira itu tidak lama ekoran jangkitan Covid-19 masih terus merebak di Sarawak dan seluruh negara.
Terdapat juga ibu bapa yang bimbang sekiranya peningkatan jumlah kes akan menyebabkan sekolah ditutup semula, menjejaskan jadual harian mereka dan anak-anak.
Dayang Ida, ibu kepada tiga orang anak di Semariang, adalah salah seorang daripada yang cuba mengimbangi antara menjaga keselamatan anak-anaknya di samping memastikan mereka dapat terus belajar di sekolah.
Walaupun membiarkan mereka belajar di rumah adalah satu cara terbaik untuk memastikan keselamatan anak-anaknya, namun Ida mengakui ia juga memberikan impak lain.
Selepas dua tahun mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian, anak perempuannya yang berusia lapan tahun masih lagi menghadapi masalah dalam menguasai asas membaca dan mengeja.
Ketika sekolah mula dibuka semula, Ida bertekad untuk melakukan sebaiknya bagi memastikan anak-anaknya dapat bersekolah secara normal, selain turut memastikan mereka dilindungi daripada jangkitan virus.
Tiga hari seminggu, Ida akan melakukan ujian kendiri terhadap anak-anaknya bagi mengesan jika mereka dijangkiti Covid-19 menggunakan kit air liur (RTK) yang boleh dijalankan di rumah.
Bagi tujuan ini, Ida terpaksa berbelanja mencecah ratusan ringgit setiap bulan.
“Apapun ini adalah satu-satunya cara untuk menangani keadaan yang tidak tentu seperti sekarang,” katanya.
“Suka atau tidak, saya mesti lakukan ini untuk anak-anak saya.”
Di Sarawak, kes harian menjunam sejak tahun lalu, bagaimanapun pembukaan semula sekolah menyaksikan berlakunya peningkatan mendadak jumlah kluster pendidikan.
Awal minggu ini, kerajaan mula melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk kanak-kanak atau PICKids, di mana kanak-kanak berumur lima tahun ke atas layak menerima vaksinasi.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada Khamis 15% daripada yang berada dalam kumpulan sasar sudah mendaftar untuk menerima suntikan.
Di Sarawak sendiri, 91.8% dewasa lengkap divaksinasi dan 83% menerima suntikan dos penggalak.
Selain itu, 88.4% remaja juga menerima vaksinasi lengkap setakat ini.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas berkata dianggarkan 15% dari 40,000 ibu bapa di Sarawak tidak bersetuju untuk vaksinasi anak-anak mereka, kebanyakannya adalah disebabkan kebimbangan mengenai kemungkinan komplikasi selepas suntikan.
“Ada yang bimbang tentang keselamatan vaksin dan mereka mahu diberi pilihan dalam menentukan jenis vaksin kepada anak-anak mereka,” tambahnya.
Namun kebimbangan mengenai vaksinasi turut bertembung dengan kebimbangan risiko jangkitan Covid-19 terhadap anak-anak yang tidak divaksinasi.
Dr Ong Eng-Joe, pakar pediatrik di Borneo Medical Centre, berkata adalah penting bagi kanak-kanak yang layak dalam kumpulan umur bawah 12 tahun untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
“Jika kanak-kanak itu tidak diberi vaksin ketika layak menerimanya, mereka mungkin berisiko dijangkiti Covid-19 yang teruk,” katanya kepada MalaysiaNow.
Ong berkata, walaupun kejadian buruk akibat vaksin mRNA mungkin boleh terjadi, namun ia sangat jarang berlaku.
Beliau turut menambah kejadian tersebut dianggap berlaku kerana berkait dengan jumlah dos mRNA selain selang antara dos yang diberikan.
“Vaksin Pfizer untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun mempunyai jumlah mRNA yang lebih rendah – satu pertiga – daripada formulasi dewasa, dan bilangan kejadian buruk adalah sangat kecil,” katanya.
“Faedah vaksinasi melebihi risikonya.”
Kembali ke Kuching, Dayang Ida masih bimbang, namun dia juga berharap pelancaran PICKids bermakna sekolah tidak perlu ditutup lagi.
Namun, pada masa sama, dia tetap berhati-hati dengan keadaan membabitkan anak-anaknya.
“Kini keadaan perlahan-lahan jadi semakin baik, tetapi saya tidak fikir ia akan kembali berubah seperti sebelum pandemik dahulu,” katanya.