- Iklan -
Berita

Pemuda Bersatu cadang 30% calon PN daripada anak muda

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal mencadangkan lima kerusi diperuntukkan kepada sayap pemuda parti itu bagi PRN Johor akan datang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal.

Pemuda Bersatu (Armada) mencadangkan agar 30% calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dipilih daripada kalangan anak muda yang berkaliber.

Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata jumlah itu, yang merangkumi 17 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertanding, dilihat mampu memberi impak dalam menarik undi orang muda di Johor.

“Untuk Armada sahaja, kita mencadangkan lima kerusi tetapi bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan semua parti.

“Armada sebahagian daripada komponen pemuda PN maka calon anak muda tidak semestinya daripada Armada sahaja, mungkin daripada Pemuda PAS, Gerakan dan mana-mana sayap parti bersekutu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Armada pusat bersama Armada bahagian di pejabat Bersatu Pagoh hari ini.

Beliau berkata calon yang akan diketengah terdiri daripada pemimpin belia masyarakat yang berpengalaman luas dalam menyantuni penduduk dan telah berbakti di kawasan mereka.

Fayhsal juga berkata Armada pusat sudah menerima cadangan daripada Armada bahagian seluruh Johor untuk dipertimbang oleh Biro Politik Bersatu.

Selain itu, katanya tiga isu utama yang dilihat menjadi tumpuan anak muda akan diberi perhatian iaitu pekerjaan bermaruah, pendidikan dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berharap saluran rasmi turut membenarkan pemimpin muda tanpa mengira parti berdebat mengenai isu semasa.

Johor menjadi negeri pertama melaksanakan Undi18 yang menyaksikan pertambahan sejumlah 749,731 pengundi baru pada PRN kali ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.