Mata wang Ringgit Malaysia seharusnya dinilai 58.9% lebih tinggi berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS), atau RM1.72 bagi setiap satu dolar, berbanding tahap semasanya sebanyak kira-kira RM4.19, menurut indeks terbaru Big Mac yang dikeluarkan minggu ini oleh The Economist.
Sejak 1986, Indeks Big Mac membandingkan kuasa membeli di seluruh dunia menggunakan harga satu burger paling dikenali dunia itu sebagai penanda aras.
Indeks tersebut dibuat berdasarkan teori perbandingan keupayaan kuasa membeli (PPP), dengan konsep dalam jangka panjang, kadar tukaran mata wang asing sepatutnya bergerak ke arah kesaksamaan harga barangan dan perkhidmatan dalam sebuah raga yang sama antara mana-mana negara yang dibanding dengan negara asal burger Big Mac itu.
Indeks yang dikatakan The Economist tidak boleh dianggap sebagai satu cara penilaian tepat bagi “kesalahjajaran mata wang” kini diterima meluas di peringkat global.
Dalam keluaran indeks terbarunya, dari 55 mata wang di seluruh dunia, ringgit muncul pada kedudukan keempat bagi mata wang yang dinilai paling rendah daripada kadarnya yang sebenar, setiap mata wang dinilai melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita selain turut mengambil kira beberapa perbezaan dalam taraf hidup penduduk.
“Satu burger Big Mac berharga RM9.99 di Malaysia sementara di Amerika Syarikat ia berharga AS$5.81,” kata laporan tinjauan tersebut.
“Kadar tukaran tersiratnya adalah sebanyak 1.72. Berbeza dengan kadar tukaran sebenar sebanyak 4.19, menunjukkan ringgit dinilai lebih rendah sebanyak 58.9%,” tambahnya merujuk nilai pasaran ringgit awal minggu ini.
Hal ini bermakna, seseorang yang memperoleh pendapatan dalam mata wang ringgit hanya akan dapat membeli sedikit barangan di AS atau negara lain kerana mata wang itu dinilai rendah.
Bagaimanapun, ringgit bukan satu-satunya mata wang yang dinilai lebih rendah daripada kadar sebenarnya.
Antara mata wang lain yang turut dinilai lebih rendah berdasarkan indeks itu adalah Lira Turki di mana ia dinilai lebih rendah sebanyak 67.9%, rupiah di Indonesia (dinilai rendah sebanyak 59.3%) dan rubel di Rusia (70%).
Dalam pada itu, indeks tersebut turut mendapati mata wang Franc Switzerland dan krone di Norway pula dinilai sebagai mata wang lebih tinggi daripada kadarnya.
Bagaimanapun, indeks tersebut tidak menjelaskan perincian penuh penilaian mata wang yang dibuat.
Ekoran daripada PPP, kos untuk menghasilkan Big Mac adalah lebih murah di negara-negara lebih miskin.
Bagi menjelaskan perkara tersebut, The Economist berkata ia telah mengambil kira hal itu dalam satu lagi indikator penting iaitu – indeks KDNK yang diselaraskan (GDP-adjusted index) – dalam usaha mendapatkan kesimpulan yang lebih tepat.
Dalam kadar pasaran tukaran mata wang asing, satu burger Big Mac berharga AS$2.39 di Malaysia, 58.9% lebih rendah berbanding harga di AS (AS$5.81).
Namun berdasarkan perbezaan KDNK bagi setiap individu, harga satu burger Big Mac sepatutnya 37.2% lebih rendah.
Hal ini menunjukkan ringgit dinilai 34.6% lebih rendah dari kadar sebenar.
“Perlu ditegaskan bahawa bagi negara-negara miskin adalah satu hal yang biasa jika satu harga kelihatan murah berbanding (harganya) di negara kaya dalam sebarang perbandingan mudah harga (barangan),” kata The Economist sambil menambah di kebanyakan negara “harga bagi seketul burger adalah berkait dengan apa yang anda jangka menerusi KDNK negara bagi setiap penduduk”.
Menerusi indeks yang diselaraskan itu juga, mata wang Malaysia masih kekal dinilai lebih rendah di mana ia berada di kedudukan keenam, namun lebih rendah jika dibanding dengan data penukaran secara terus.
Menggunakan penilaian ini, rubel di Rusia adalah mata wang yang dinilai paling rendah berbanding dolar, dengan jurang sebanyak 52.1%.
Ia berada di kedudukan yang lebih rendah dari mata wang leu di Romania sebanyak 36%, Dolar Hong Kong sebanyak 45% dan Dolar Taiwan sebanyak 38.5%.
Dengan penyelarasan KDNK per kapita, Uruguay pula mempunyai mata wang dinilai paling tinggi sebanyak 39.8%.