Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata Malaysia mungkin bakal menyaksikan angka harian kes Covid-19 mencecah sehingga 22,000 pada akhir Mac depan di mana ketika ini kadar jangkitan berada pada 1.20.
“Tanggungjawab kini terletak pada kita untuk untuk mematuhi semua langkah kesihatan dan sosial, selain meningkatkan tahap suntikan vaksinasi dan dos penggalak bagi mengurangkan penularan Ro/Rt di bawah angka 1,” katanya dalam sebuah ciapan Twitter.
Malaysia kini mengalami kenaikan angka kes harian yang mendadak walaupun ia berkurangan sehingga paras 2,000 pada awal Januari lalu.
Bagaimanapun angka kes meningkat semula sehingga akhir bulan lalu mencecah 5,000 pada awal Februari dan terus meningkat ke paras 9,000 kes semalam.
Semalam, angka kes harian mencatat 9,117 menjadikannya angka tertinggi dalam masa empat bulan lalu.
Pada Jumaat, Noor Hisham berkata negara mungkin akan menyaksikan peningkatan angka jangkitan ketika kadar vaksinasi menyebabkan kes yang direkodkan semakin berkurangan di mana Kategori Tiga dan keatas secara umumnya hanya menyumbang kurang dari 1% daripada keseluruhan angka kes yang dicatatkan setiap hari.
“Walaupun angka kes dijangka akan meningkat untuk beberapa hari dan minggu akan datang susulan penularan varian Omicron, ia bagaimanapun menyumbang jangkitan dalam bentuk yang kurang tenat terhadap mereka yang menerima vaksin lengkap dan sudah menerima suntikan dos penggalak,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut mengeluarkan kenyataan mengingatkan peningkatan kes di Singapura, di mana ia merekodkan kenaikan 4,000 sehingga 13,000 kes dalam masa sehari pada awal minggu ini.
“Kes dalam negara juga akan meningkat dalam masa beberapa minggu ke depan. Ini adalah gelombang varian Omicron.
“Setakat ini, ketenatan jangkitan adalah lebih rendah daripada varian Delta. Teruskan berwaspada, dan ambil suntikan dos penggalak,” katanya dalam sebuah ciapan Twitter.