- Iklan -
Berita

PM tak harus salahkan penjawat awam jika konsep Keluarga Malaysia tidak popular, kata penganalisis

Mereka berkata tidak ramai yang memahami slogan tersebut dan tidak dapat membezakannya antara slogan 1Malaysia yang diperkenalkan Najib Razak.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita membeli sayuran dari seorang peniaga yang menjual barangan mentah di acara Keluarga Malaysia yang diadakan di Kuala Berang, Terengganu, pada 15 Januari lalu. Gambar: Bernama
Seorang wanita membeli sayuran dari seorang peniaga yang menjual barangan mentah di acara Keluarga Malaysia yang diadakan di Kuala Berang, Terengganu, pada 15 Januari lalu. Gambar: Bernama

Ismail Sabri Yaakob tidak seharusnya menyalahkan penjawat awam jika konsep atau slogan Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri enam bulan lalu masih tidak mendapat sambutan, kata penganalisis.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata, konsep tersebut kurang difahami masyarakat kurang memahami “slogan” tersebut ketika ia diperkenalkan Ismail ketika ia diperkenalkan Ogos tahun lalu.

Penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata definisi konsep itu kurang jelas memandangkan ia diperkenalkan selepas Ismail menjadi perdana menteri secara “tiba-tiba” dan perlu mencari satu slogan untuk mencerminkan konsep pentadbirannya.

“Mungkin ramai masih keliru mengenai definisi Keluarga Malaysia dan bagaimana ia berbeza dari slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib Razak pada 2009,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Disebabkan ini, ramai tidak begitu tertarik. Malah, ramai juga tidak melihat Ismail sebagai PM yang akan berkekalan lama dan sekadar caretaker untuk jawatan tersebut.”

Sementara itu, penganalisis politik dari USM, Ahmad Atory Hussain, berkata konsep itu juga tidak akan membantu BN meraih sokongan pada PRN Johor memandangkan ia merupakan sebuah polisi kerajaan manakala pilihan raya adalah medan pertarungan parti politik untuk menentukan pihak yang bakal menerajui kerajaan seterusnya.

Oleh itu, katanya, PM tidak seharusnya menyalahkan penjawat awam sekiranya konsep itu tidak diterima ramai memandangkan kumpulan ini tetap akan melaksanakan segala arahan dari pihak atasan tanpa mengira parti politik.

“Tak boleh salahkan penjawat awam sebab mereka akan terus laksanakan segala arahan dari pihak atasan tanpa mengira parti politik.

“Ada kemungkinan penjawat awam dalam kementerian tidak melaksanakan konsep Keluarga Malaysia kerana tidak diberi bimbingan yang kurang jelas dari menteri itu sendiri,” katanya.

Bulan lalu, semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menter Ismail mengingatkan penjawat awam lebih bersungguh-sungguh dalam mempromosi konsep Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, Oh berkata, menteri termasuk perdana menteri perlu berhati-hati memberi teguran terhadap penjawat awam secara terbuka memandangkan langkah itu mungkin akan memakan diri pada masa hadapan.

“Jangan lupa kesan selalu menuduh penjawat awam seperti yang berlaku pada zaman pentadbiran Dr Mahathir Mohamad menyebabkan ramai penjawat awam tidak suka dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Tambah Oh, situasi bertambah buruk apabila pengundi termasuk penjawat awam kini agak keliru dengan landskap politik negara menyebabkan tiada lagi sifat kesetiaan terhadap satu parti politik sahaja.

“Kita pun tidak pasti siapakah kerajaan atau pembangkang. Contohnya, Bersatu dan PAS ada kalanya lebih berperanan seperti pembangkang berbanding PH.

“Manakala PH pula sejak menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan, mereka berbunyi seperti kerajaan, dan keadaan ini sangat mengelirukan pengundi,” katanya.

Menurut Atory, keadaan ini boleh menyebabkan peralihan undi penjawat awam ke parti yang tidak mewakili kerajaan, yang mana ia boleh menyumbang kepada kejatuhan kerajaan semasa.

Beliau berkata, faktor ini perlu dipandang serius memandangkan tiada lagi istilah “kubu kuat” sejak BN tumbang pada 2018.

“Dulu memang penjawat awam banyak undi BN disebabkan kestabilan yang mana gabungan parti politik itu sering meraih dua pertiga kerusi Parlimen,” katanya.

Atory berkata, walaupun undi dari penjawat awam tidak sebesar peratusan undi dari golongan muda, semua parti politik perlu mengambil kira bahawa setiap pilihan raya pada masa akan datang disifatkan sebagai “persaingan terbuka” dan tiada lagi parti yang dominan seperti era pentadbiran BN sebelum 2018.

“Jika Johor adalah kubu Umno maka mereka sepatutnya raih dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan bukannya raih majoriti satu kerusi sahaja,” tambahnya.

“Malah, pelaksanaan PRN ini dilihat sebagai strategi BN untuk kembali berkuasa ketika gabungan parti politik tidak mampu meraih sokongan seperti tahun-tahun sebelum ini.”