- Iklan -
Berita

Lokman Adam padam hantaran fitnah terhadap ketua hakim syarie

Lokman selaku defendan memadam hantaran tersebut dalam tempoh 24 jam seperti yang diarahkan mahkamah pada 20 Januari lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam. Gambar: Bernama
Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam. Gambar: Bernama

Lokman Noor Adam telah memadam kesemua hantaran berunsur fitnah terhadap Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube milik bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Na’im ketika dihubungi pemberita berkata Lokman selaku defendan telah memadam hantaran tersebut dalam tempoh 24 jam sepertimana diarahkan oleh mahkamah pada 20 Januari lepas, setelah anak guamnya memperoleh injunksi ex-parte (sebelah pihak).

Dalam saman fitnah difailkan pada 17 Januari lepas, Na’im selaku plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya Lokman sebagai defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

Akberdin berkata pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian (Zoom), hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan Mohd Na’im supaya injunksi ex-parte yang diperolehnya itu dilanjutkan sehingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte (antara pihak) pada 22 Mac ini.

“Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi inter-parte, namun ditangguhkan kerana peguam mewakili Lokman memohon tempoh masa untuk memfailkan afidavit jawapan dalam permohonan injunksi itu.

“Oleh itu, pihak plaintif memohon agar perintah injunksi interim diperoleh anak guam saya dilanjutkan sehingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 22 Mac dan mahkamah membenarkan permohonan itu selain mengarahkan defendan memfailkan afidavit jawapan tersebut sebelum atau pada 11 Februari ini,” katanya dan menambah prosiding hari ini turut disertai peguam Fazilah Jaafar yang mewakili Lokman.

Na’im, 54, memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang “Datin.”

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Na’im yang juga ketua pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook “Lokman Noor Adam Official” pada 10 dan 13 Januari lepas.

Mohd Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 dan 14 Jan selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 dan 13 Januari lepas.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.