Jam di dinding menunjukkan pukul 8.00 malam ketika M Dewi sedang menguruskan gerai kecil di depan sebatang jalan di Telemong, Bentong di negeri Pahang.
Di luar, hujan turun tidak henti-henti sejak hampir semalaman.
Gerai yang didirikan sejak 20 tahun lepas menjadi tempat berteduh bagi Dewi sekeluarga.
Dewi lebih selesa tinggal di situ kerana mudah bagi wanita berusia 65 tahun itu bangun pagi dan menyediakan sarapan untuk dijual.
Dewi menyangka hujan pada hari itu hanyalah hujan biasa.
Di sepanjang jalan tersebut, air banjir mula melimpah sedikit demi sedikit dan akhirnya sampai ke gerai Dewi.
Air mula naik ke paras betis dan Dewi beransur naik ke rumah anaknya yang terletak di kawasan yang lebih tinggi sedikit daripada gerainya.
Ketika itu dirasakan ada yang tidak kena dengan paras air yang melimpah.
“Saya jerit dekat cucu saya untuk selamatkan itik dan ayam di reban, kemudian saya naik tumpang rumah anak saya,” katanya kepada MalaysiaNow.
Namun ketika masa semakin berlalu, air tidak surut malah “merangkak” naik ke rumah anaknya.
Sedikit demi sedikit gerai kecil wanita itu tenggelam sepenuhnya.
“Saya dan keluarga bergegas mencari kawasan perlindungan.
“Kami ikut jalan ladang kelapa sawit di belakang rumah.
“Keadaan masa itu memang menakutkan, kami hanya suluh jalan dengan lampu telefon bimbit.”
Mereka sempat menginap di dewan berhampiran.
Setelah air surut, mereka kembali ke rumah mereka namun gerai dan tempat berteduh Dewi rosak teruk.
Memasuki dua bulan selepas tragedi itu, rumah dan gerai Dewi masih dalam keadaan menyedihkan.
Bumbung yang ranap, barang yang bersepah serta sisa-sia lumpur masih mewarnai kawasan itu.
Beberapa ratus meter dari kediaman Dewi, rumah milik V Thilagavathy, 42, hanyut dibawa air.
Apa yang tinggal hanyalah tapak rumahnya.
“Selepas kejadian, saya kembali untuk melihat tapak rumah. Ketika itu masih ada barangan seperti peti ais dan televisyen, namun keesokannya orang besi buruk datang dan ambil barangan itu,” katanya.
Seperti ribuan mangsa banjir lain, Thilagavathy mengharapkan bantuan yang diumumkan namun seakan indah khabar dari rupa.
“Saya mohon pin
jaman RM10,000 tanpa faedah itu namun ditolak kerana saya tidak bekerja. Kemudian ada pegawai kerajaan menyuruh kami mencari tanah baru supaya rumah yang hilang itu boleh diganti.
“Kami hendak cari tanah di mana?” soal wanita itu.
Sebagai rekod, tanah tapak bekas rumah Thilagavathy itu merupakan tanah rizab sungai.
Dia dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori turut menanam beberapa tanaman seperti durian dan kelapa sawit untuk mendapatkan sedikit wang tambahan.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semasa perutusan tahun baru mengumumkan beberapa pakej bantuan, antaranya bantuan tunai RM1,000, baucar barangan elektrik RM500, bantuan tunai RM5,000 untuk kerja-kerja pembaikan rumah.
Rumah yang mengalami kerosakan serius akan dibaiki kerajaan sehingga RM15,000, manakala bagi rumah yang musnah, kerajaan akan membantu sehingga RM56,000 untuk setiap unit rumah baru.
Dewi dan keluarga menerima RM1,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Sabai, Kamache Doray Rajoo.
Wang itu diharap dapat menampung keperluan sementara Dewi namun yang lebih penting ialah tempat berteduh dan gerainya.
“Sebelum ini ada pihak kata nak baiki, namun sampai sekarang tak datang pun,” katanya.
Bagi kedua-dua wanita itu, harapan seakan tipis untuk menerima bantuan-bantuan yang diumumkan.
Ketika ini, mereka menumpang rumah anak masing-masing namun kedua-duanya tidak mahu tinggal di situ selamanya.
Apa yang diharapkan hanyalah untuk rumah mereka dibina semula supaya dapat meneruskan kehidupan tanpa mengganggu sesiapa.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.