Wanita yang menerima saman fitnah dari Azam Baki berkata artikelnya yang menuduh ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu ditulis selepas satu perbincangan bersama bekas anggota panel penasihat agensi anti rasuah itu, Edmund Terrence Gomez yang meletakkan jawatan pada Disember selepas memetik dakwaan dalam artikel tersebut.
Dalam kenyataan pembelaan beliau yang dilihat MalaysiaNow, Lalitha Kunaratnam secara jelas menyatakan artikel-artikel itu ditulis olehnya dengan kapasiti beliau sebagai penyelidik C4 Consultancies Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan operasi C4 Center, sebuah NGO yang diketuai oleh aktivis Cynthia Gabriel yang menyifatkan badan itu sebagai kumpulan pemantau jenayah rasuah.
Lalitha berkata tuduhan-tuduhannya terhadap Azam berkenaan pemilikan saham tersebut didedahkan pertama kali menggunakan akaun yang tidak menyiarkan nama di Twitter, sebelum kemudiannya ia dibincangkan “dengan lebih terperinci” bersama Gomez.
Beliau berkata perincian dalam tuduhan tanpa penama itu turut dihantar kepada Gomez dan Cynthia melalui emel pada Oktober tahun lalu.
“Defendan, selaras dengan terma kontrak pekerjaannya dengan C4 kata dia bersedia untuk menulis laporan penyiasatan yang mendalam mengenai dakwaan-dakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang difailkan minggu ini melalui firma guaman Ibrahim & Fuaadah.
Lalitha kemudiannya menerbitkan dua artikel berkenaan tuduhan terhadap Azam dalam laman sesawang yang bergelar “Independent News Service”.
Bulan lalu, Cynthia berkata, “C4 Center tidak mempunyai kaitan dalam sebarang penulisannya dengan Independent News Service (INS),” sambil menambah Lalitha tidak lagi menjadi pekerja NGO itu sejak Disember 2020.
Bagaimanapun, kenyataan pembelaan Lalitha tersebut berkata beliau menerima kontrak untuk bekerja sebagai “perunding penyelidik”, sambil menambah tanggungjawabnya termasuk “mengukuhkan kapasiti penyiasatan organisasi untuk bidang tertentu” selain perlu melapor kepada Gomez.
Beberapa minggu selepas penerbitan artikel Lalitha, Gomez meletakkan jawatan daripada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), memberikan alasan beliau tidak berpuas hati apabila tuduhan Lalitha itu tidak diendahkan.
Perkara itu juga turut mencetuskan serangan daripada ahli politik Pakatan Harapan yang mendesak ketua pesuruhjaya SPRM itu disiasat.
Suruhanjaya Sekuriti juga turut melakukan siasatan dan menyimpulkan Azam tidak melanggar Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).
Pada 12 Januari, Azam memfailkan saman bernilai RM10 juta terhadap Lalitha selepas dia gagal mematuhi surat tuntutan berhubung dua artikel, “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part 1)” dan “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part 2)”.
Dalam kenyataan pembelaannya juga, Lalitha menafikan dia berniat jahat ketika menulis artikel tersebut, sambil menambah ia adalah berdasarkan ulasan adil demi kepentingan awam.
“Artikel-artikel tersebut tidak berkaitan secara eksklusif dengan plaintif tetapi membangkitkan tentang isu nasional dan politik yang lebih luas dan kemungkinan rasuah dan hubungan entiti perniagaan yang sedang diketengahkan dalam media Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut.