- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi bantah kerajaan hantar pulang diplomat Bangladesh

Lawyers for Liberty berkata Mohammmed Khairuzzaman harus dilepaskan daripada tahanan dan diberi perlindungan sebagai pelarian politik.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menggesa supaya kerajaan membatalkan sebarang rancangan untuk menghantar pulang bekas pesuruhjaya tinggi Bangladesh susulan penahanannya awal minggu ini, mengatakan statusnya sebagai pelarian menghalangnya dihantar pulang tanpa mengambil kira mengapa dia ditahan.

Ketua Koordinator LFL Zaid Malek turut berkata Mohammmed Khairuzzaman harus dibebaskan daripada tahanan dan seterusnya perlu diberikan perlindungan sebagai pelarian politik.

“Kerajaan sepatutnya sedar bahawa Malaysia tertakluk dengan prinsip ‘non-refoulement’, iaitu prinsip utama undang-undang hak asasi yang melarang pemulangan individu ke negara yang mungkin menyebabkan mereka berdepan penyeksaan, layanan kejam dan hukuman tidak berperikemanusaan dan mencalarkan maruah atau bahaya kekal.

“Sebagai pelarian politik, sudah pasti Khairuzzaman akan berdepan beberapa akibat yang buruk jika dihantar semula ke Bangladesh.”

Khairuzzaman ditahan di rumahnya yang terletak di Ampang pada 9 Februari lalu dan dilaporkan akan dihantar pulang ke Bangladesh.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin turut mengesahkan Khairuzzaman ditahan mengikut proses perundangan negara.

“Jika ada permintaan dari negara asal yang kita rasa kebenarannya, kita akan lakukan (tangkapan) dan segala dilakukan mengikut prosedur,” katanya.

Namun Zaid berkata “organisasi antarabangsa yang berkredibiliti” sudah merekodkan beberapa kejadian pembunuhan yang menyalahi undang-undang, kehilangan, penahanan tanpa bicara selain perbicaraan yang berakhir dengan hukuman mati sering berlaku di Bangladesh.

“Tanpa mengira apakah alasan penahanannya yang mana menteri dalam negeri enggan dedahkan, status Khairuzzaman sebagai pelarian mesti mengecualikannya daripada dihantar pulang,” katanya.

“Khairuzzaman mesti dibebaskan daripada penahanannya serta-merta dan berhak diberi perlindungan selayaknya sebagai pelarian politik.”