- Iklan -
Berita

Kumpulan peguam kecam rancangan Singapura jalankan hukuman mati seorang lagi OKU mental Malaysia

Lawyers for Liberty berkata Pausi Jefridin dari Sabah tidak harus digantung ketika rayuan Nagaenthran masih belum selesai.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah gambar menunjukkan seorang pengawal pagar penjara bersenjata di Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP
Sebuah gambar menunjukkan seorang pengawal pagar penjara bersenjata di Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam langkah Singapura untuk menjalankan hukuman mati terhadap seorang lagi warga Malaysia yang kurang upaya (OKU) mental, menyatakan cabaran undang-undang Nagaenthran K Dharmalingam masih belum selesai di mahkamah.

LFL berkata, hukuman terhadap warga Sabah Pausi Jefridin tidak boleh dilaksanakan ketika rayuan Nagaenthran masih belum diputuskan kerana ia menimbulkan persoalan penting mengenai hukuman mati terhadap OKU mental yang mempunyai IQ di bawah nilai ambang 70.

“Pelaksanaan hukuman mati ini tidak boleh diterima sama sekali ketika mahkamah masih belum memutuskan isu perundangan dan Perlembagaan penting yang berkait pelaksanaan hukuman mati ke atas OKU mental,” kata LFL dalam satu kenyataan yang dikeluarkan peguam Zaid Malek dan Mahajoth Singh.

Pausi didakwa menyeludup dadah ke republik itu bersama warga Singapura Roslan Bakar pada 2008.

Mereka berdua gagal dalam rayuan di mahkamah pada 2017 yang memohon hukuman mati tersebut diubah kepada penjara seumur hidup walaupun peguam memetik laporan perubatan mengenai keupayaan intelektual yang akan menjadikan pelaksanaan hukuman mati terhadap mereka tidak sah di bawah undang-undang Singapura serta perjanjian antarabangsa.

Ahli psikologi klinikal Singapura Dr Danny Ng yang menilai Pausi berkata lelaki itu mendapat skor IQ sebanyak 67, di bawah nilai ambang 70 yang membolehkan seseorang itu diisytiharkan sebagai OKU mental.

Dalam pada itu, peguam Roslan pula berkata kliennya didapati memiliki “kemampuan terhad untuk membuat keputusan disebabkan kecacatan kognitif”, menurut kertas penghakiman pada 2017 yang dilihat MalaysiaNow.

Bagaimanapun, hakim tetap mengekalkan hukuman mati walaupun mengakui kedua-dua lelaki itu mendapat skor IQ yang rendah.

Mereka dijadualkan akan menjalani hukuman gantung pada 16 Februari seperti yang dimaklumkan kepada ahli keluarga mereka pada 9 Februari.

Dalam pada itu, LFL berkata jangka waktu pendek pemakluman tersebut kepada ahli keluarga Pausi, menyebabkan mereka sukar untuk melakukan perjalanan ke negara itu ekoran sekatan ketat pandemik Covid-19 di sempadan.

“Tindakan tergesa-gesa untuk menjalankan hukuman mati terhadap OKU mental ini tidak masuk akal.

“Di sebalik kecaman antarabangsa diterima kerajaan Singapura pada November 2021 ketika hendak menjalankan hukuman mati terhadap Nagaenthran, mereka tetap bersikap acuh tidak acuh terhadap pandangan dunia dengan sekali lagi merancang untuk gantung seorang lagi OKU mental.

Menuduh Singapura “sering tidak mengendahkan tanggungjawab antarabangsanya,” ia berkata pelaksanaan hukuman mati terhadap OKU mental adalah tidak berperikemanusiaan.

“Undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan Singapura melarang hukuman mati terhadap pesalah OKU mental,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.