- Iklan -
Berita

Bekas pegawai Goldman terima sogokan jutaan dolar berkait 1MDB, kata pendakwaan

Menurut pendakwaan, Roger Ng menerima sogokan sebanyak AS$35 juta dari bekas majikannya Timothy Leissner.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di  New York pada 8 Februari. Gambar: AFP
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di New York pada 8 Februari. Gambar: AFP

Pihak pendakwaan menuduh pegawai bank Goldman Sachs mahu menghasilkan jutaan dolar melalui pengubahan wang yang diselewengkan daripada dana 1MDB, dalam perbicaraan yang dilihat akan menjelaskan bagaimana respons bank berkenaan terhadap amaran-amaran berhubung rasuah.

Bekas ketua unit pelaburan perbankan Goldman di Malaysia, Roger Ng didakwa mendalangi pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

“Defendan melihat ada peluang untuk menghasilkan jutaan dolar dengan cara menipu, dan dia ambil peluang itu,” kata peguam Jabatan Kehakiman AS Brent Wible dalam kenyataan pembukaan pada Isnin.

Ng mengaku tidak bersalah dan peguamnya berkata dia dituduh melakukan perbuatan yang tidak pernah dilakukannya dalam skandal kewangan terbesar dalam sejarah Wall Street itu.

Perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn itu dijangka akan memakan tempoh masa lebih enam minggu.

Skandal tersebut berpunca selepas Goldman membantu menjual bon 1MDB yang ditubuhkan Najib Razak bernilai AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion) dari 2009 hingga 2014.

Pendakwaan berkata Goldman memperolehi AS$600 juta fi daripada urus niaga tersebut, namun sekitar AS$4.5 bilion dana yang terkumpul telah diselewengkan.

Pada 2020, bank tersebut membayar denda sebanyak AS$2.3 bilion, memulangkan AS$600 juta yang diterimanya selain turut bersetuju cawangannya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS sebagai sebahagian daripada perjanjian pendakwaan tertunda (DPA).

Wible berkata Ng membantu dua lagi dalang yang turut bersubahat – bekas majikannya, Timothy Leissner dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low – dalam pengubahan dana yang diselewengkan dari 1MDB dan menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk merasuah pegawai-pegawai kerajaan di negara Asia Tenggara untuk mendapatkan peluang perniagaan bagi Goldman.

Menurut Wible, Ng juga turut menerima sogokan sebanyak AS$35 juta dari Leissner.

Pada 2018, Leissner yang merupakan bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia mengaku bersalah terhadap kesalahan mendalangi pengubahan wang dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing dalam peranannya membantu untuk membayar AS$1.6 bilion dalam bentuk rasuah.

Leissner juga dijangka akan memberi keterangan sebagai saksi bagi pihak pendakwaan.
Wible berkata Leissner yang masih belum dijatuhi hukuman akan memberikan keterangan terhadap Ng sebagai sebahagian dari perjanjian kerjasama dengan pendakwaan dan akan menerima hukuman yang lebih ringan.

Bagaimanapun, Wible berkata keterangan Leissner akan turut disokong dengan bukti-bukti lainnya.

Peguam pembelaan Marc Agnifilo menjawab hujah tersebut dengan mengatakan Ng tidak berperanan dalam perancangan Low dan Leissner, dan beliau juga berkata Ng telah memberi amaran supaya pengurusan Goldman tidak mempercayai ahli perniagaan buruan itu.

Agnifilo turut berkata dana yang dikatakan sebagai sogokan oleh pihak pendakwaan sebenarnya adalah milik isteri Ng dan diperolehi daripada perniagaannya dengan bekas isteri Leissner.

Agnifilo juga turut menumpukan kenyataan pembukaannya kepada Leissner, di mana beliau dijangka akan menjadi saksi bagi pihak pendakwaan.

“Mereka bukan rakan subahat jenayah. Ada perbezaan yang jauh antara kedua-dua lelaki ini,” katanya.

“Leissner memperalatkan orang. Anda akan lihat dia lakukan demikian kali ini dan masa akan datang. Dia cuba gunakan klien saya untuk jalani hukuman penjaranya.”

Low, yang turut didakwa bersama Ng pada 2018, masih belum dapat ditahan oleh pihak berkuasa AS atau Malaysia.

Ahli perniagaan buruan itu juga turut didakwa berada di China, namun ia dinafikan oleh Beijing.