- Iklan -
Berita

Gagal fail pembelaan, ketua hakim syarie mohon penghakiman ingkar terhadap Lokman

Lokman Noor Adam selaku defendan gagal memfailkan pernyataan pembelaan selepas tempoh pemfailan itu dilanjutkan sehingga 11 Februari lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam. Gambar: Bernama
Bekas ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam. Gambar: Bernama

Mohd Na’im Mokhtar memohon untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap Lokman Noor Adam kerana gagal memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman ketua hakim syarie itu berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube milik bekas ahli Majlis Tertinggi Umno berkenaan.

Na’im memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Akberdin & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam.

Penghakiman ingkar adalah perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah bagi mengesahkan tuntutan dibuat oleh plaintif (individu yang menyaman) selepas defendan (individu yang disaman) gagal memfailkan pembelaan mengikut masa yang ditetapkan iaitu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh saman itu diserahkan.

Difahamkan, Lokman selaku defendan gagal memfailkan pernyataan pembelaan selepas tempoh pemfailan itu dilanjutkan sehingga 11 Februari lepas.

Perkara itu disahkan peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Na’im ketika dihubungi pemberita hari ini.

Pada 17 Januari lepas, Na’im, 54, memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang “Datin”.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Na’im yang juga ketua pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook “Lokman Noor Adam Official” pada 10 Januari dan 13 Januari lepas.

Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Januari dan 14 Januari selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Januari dan 13 Januari lepas.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.