Varian Omicron virus Covid-19 tidak menyebabkan penghidapnya hilang deria bau seperti varian Delta.
Pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi dan Imunologi) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr Masita Arip berkata itu merupakan satu daripada perbezaan ketara antara gejala varian Omicron dan varian Delta.
“Selain itu, varian Omicron juga tidak menyebabkan demam dengan suhu yang tinggi sebagaimana pesakit Covid-19 varian Delta sebelum ini. Antara gejala utama yang dibawa oleh varian Omicron adalah sakit kepala dan loya.
“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit kepala dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan segera,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.
Menurut Dr Masita, gejala yang dialami oleh penghidap varian Omicron adalah lebih singkat iaitu kurang lima hari berbanding varian Delta.
Beliau berkata masyarakat Malaysia perlu bersikap matang dalam menghadapi situasi melawan pandemik Covid-19 dengan segera mendapatkan rawatan apabila bergejala, sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan mengambil dos penggalak supaya mempunyai imuniti terhadap varian berkenaan.
Individu yang melakukan ujian kendiri Covid-19 di rumah dan mendapati diri mereka positif perlu jujur dan bertanggungjawab dengan tidak keluar rumah dan membahayakan orang lain, katanya.