- Iklan -
Berita

Warisan akan bertanding PRN Johor

Bagaimanapun jumlah kerusi DUN yang ingin ditandingi parti itu, belum dimuktamadkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal ketika melancarkan partinya di Johor Bahru malam tadi. Gambar: Bernama
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal ketika melancarkan partinya di Johor Bahru malam tadi. Gambar: Bernama

Warisan memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi parti itu, belum dimuktamadkan.

“Ia (jumlah kerusi DUN) akan diumumkan pada masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Warisan Johor di sebuah restoran, di Johor Bahru malam tadi.

Ditanya sama ada Warisan bergerak solo atau bekerjasama dengan mana-mana parti lain bagi PRN Johor, ahli Parlimen Semporna itu berkata fokusnya ketika ini adalah untuk parti itu mendekati rakyat.

“Namun, perkara ini (solo atau kerjasama dengan parti lain) akan dilihat mengikut keadaan…ingin kita dampingi ialah mereka yang menentukan siapa yang memerintah bukan sahaja Johor, bahkan Malaysia,” kata beliau.

Mengulas khabar angin berhubung bekas pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang menyertai Warisan, Shafie berkata buat masa ini, Mazlan hanya meluahkan keinginan untuk membantu Warisan.

Januari lepas, Mazlan yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa mengumumkan keluar daripada Bersatu, namun tidak menyertai mana-mana parti ketika itu serta menyatakan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN).

Pada majlis itu, Shafie turut mengumumkan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Suhaimi Salleh, sebagai ketua koordinator Warisan Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac.