- Iklan -
Berita

Kebuntuan berlaku selepas mahkamah Singapura bertegas peguam sakit hadir perbicaraan Pausi

Peguam hak asasi M Ravi berkata peguam Violet Netto tidak sihat selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dan tidak dapat hadir ke mahkamah.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Kebuntuan dilihat sedang berlaku di mahkamah Singapura ketika hakim yang mendengar rayuan warga Malaysia Pausi Jefridin yang mahu hukuman mati ke atasnya diisytiharkan tidak selari perlembagaan bertegas supaya peguam berusia 78 tahun mewakilinya hadir pendengaran kes walaupun sedang mengalami kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19.

Dalam sebuah video Facebook Live, peguam hak asasi M Ravi berkata peguam firma yang yang memfailkan permohonan rayuan mewakili Pausi, Violet Netto masih belum pulih sepenuhnya akibat jangkitan Covid-19.

Difahamkan peguam itu diberikan cuti sakit dari 17 hingga 24 Februari.

“Banyak perkara betul-betul sudah jadi tak masuk akal,” kata Ravi.

“Dia sakit. Saya sedang hantar dia ke klinik sekarang ini.”

“Kami diberitahu mahkamah tidak mahu terima surat pengesahan sakit. Dia sekarang ini berada di rumah dalam keadaan panik. Dia benar-benar sakit. Apa yang perlu kami lakukan?”

Sementara itu, peguam N Surendran mempertikaikan mengapa kes Pausi dikendalikan secara terburu-buru.

“Tindakan Mahkamah Tinggi Singapura pagi ini yang mengancam dan mengganggu seorang peguam yang berusia 78 tahun dan sedang sakityang membela banduan bilik akhir secara pro bono, adalah satu perkara yang sangat memualkan,” katanya dalam sebuah ciapan Twitter.

“Mengapa terburu-buru? Mahkamah kangaroo sahaja buat begitu.”

Permohonan yang difailkan semalam itu dijadualkan untuk pendengaran di mahkamah pada 9.30 pagi hari ini.

Aktivis dan peguam juga berkata pendengaran mahkamah yang dibuat secara terburu-buru itu adalah untuk membolehkan pihak berkuasa SIngapura menjalankan hukuman gantung terhadap Pausi dan warga Singapura Roslan Bakar yang dijadualkan akan dilaksanakan hari ini.

Pausi and Roslan didakwa menyeludup 96.07g diamorfin dan 76.37g metamfetamin pada 2008 dan disabitkan kesalahan tersebut pada 2010.

Mereka juga gagal dalam rayuan di mahkamah pada 2017 untuk mengubah hukuman mati kepada penjara seumur hidup walaupun peguam memetik laporan perubatan keupayaan intelek mereka yang boleh menyebabkan pelaksanaan hukuman mati tersebut bercanggah dengan undang-undang Singapura dan perjanjian antarabangsa.

Pelaksanaan hukuman ke atas Pausi dan Roslan sepatutnya dijalankan semalam, namun ditangguh selepas peguam mereka segera memfailkan rayuan dalam usaha saat akhir menyelamatkan nyawa kedua-dua banduan itu dari tali gantung.

Singapura yang mempunyai undang-undang kesalahan dadah paling keras dunia menegaskan hukuman mati adalah pencegah jenayah yang berkesan.

Namun berita-berita pelaksanaan hukuman mati di negara itu mengundang kecaman ramai termasuk
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa negara itu menghentikan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah kerana ia tidak selari dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Kes mereka berdua adalah sama seperti kes Nagaenthran K Dharmalingam, seorang warga Malaysia yang turut didiagnosis mempunyai tahap IQ sebanyak 69, yang dijadualkan menjalani hukuman mati pada November tahun lalu.

Bagaimanapun dia diberikan penangguhan hukuman selepas didapati positif Covid-19 sebelum mahkamah mendengar rayuan akhir bagi menyelamatkan nyawanya.

Pendengaran kesnya dipercayai akan ditetapkan bulan ini.

Dalam pada itu, Ravi berkata hak untuk membela di mahkamah juga turut merangkumi keadaan kesihatan peguam itu sendiri.

“Akses kepada keadilan juga bermaksud seorang peguam mesti hadir dalam keadaan sihat,” tambahnya.