- Iklan -
Berita

Pendedahan: Bagaimana SC hentikan siasatan Bursa Malaysia ke atas AirAsia

Difahamkan, Bursa Malaysia telah memulakan siasatan ke atas AirAsia berhubung dakwaan syarikat itu melanggar undang-undang.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
SC meminta Bursa untuk menghentikan siasatan dan semua bentuk komunikasi dengan AirAsia Group Berhad dan AirAsia X Berhad berhubung isu-isu membabitkan Airbus.
SC meminta Bursa untuk menghentikan siasatan dan semua bentuk komunikasi dengan AirAsia Group Berhad dan AirAsia X Berhad berhubung isu-isu membabitkan Airbus.

Siasatan Bursa Malaysia terhadap AirAsia ketika timbul tuduhan bos utamanya terlibat dalam kes rasuah besar-besaran Airbus, terpaksa dihentikan secara mengejut berikutan campur tangan Suruhanjaya Sekuriti (SC), MalaysiaNow kini boleh mendedahkan.

Ekoran campur tangan tersebut, Bursa Malaysia tidak dapat meneruskan siasatan yang dilancarkan pada awal Februari 2020 berhubung beberapa tuduhan mendakwa AirAsia menerima suapan sebanyak AS$50 juta dari Airbus dalam bentuk tajaan pasukan sukan sebagai tukaran pembelian pesawat buatannya.

Selepas menyiasat lebih lanjut, MalaysiaNow kini dapat mengesahkan antara 11 dan 12 Februari 2020, SC meminta Bursa untuk menghentikan siasatan dan semua bentuk komunikasi dengan AirAsia Group Berhad dan AirAsia X Berhad berhubung isu-isu membabitkan Airbus.

Difahamkan, ketika itu, Bursa sedang menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran Seksyen 132 Akta Syarikat, Seksyen 317A Akta Pasaran Modal dan Akta Perkhidmatan 2007, Bab 10 Kehendak-Kehendak Penyenaraian Pasaran Utama dan beberapa pelanggaran lain.

Ibu pejabat Bursa Malaysia di Kuala Lumpur. Badan itu telah memulakan siasatan penglibatan bos AirAsia berkait skandal rasuah Airbus.

Turut difahamkan, SC memberitahu Bursa mereka akan mengambil alih siasatan berhubung kes itu.

Pada Isnin, MalaysiaNow melaporkan tiada sebarang perkembangan lanjut berhubung hasil siasatan yang dilaksanakan SC selepas lebih dua tahun mengumumkan pihaknya memulakan siasatan terhadap AirAsia.

Kes melibatkan AirAsia itu diketahui umum pada 31 Januari 2020, ia adalah berdasarkan dokumen mahkamah yang difailkan badan anti rasuah Britain, Serious Fraud Office (SFO).

SFO berkata Airbus memberi suapan sebanyak AS$50 juta untuk mendapatkan tempahan pesawat dari AirAsia di mana penyiasat mempercayai ia adalah satu bentuk rasuah dilakukan syarikat pembuatan pesawat itu yang berlaku di lebih 10 negara termasuk Malaysia.

Ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti di Kuala Lumpur. Masih tiada perkembangan lanjut mengenai siasatan badan perundangan pasaran modal itu berkait AirAsia.

Pendedahan tersebut mengejutkan dunia penerbangan sekali gus mencetuskan siasatan di banyak negara bagi memburu pihak bertanggungjawab berhubung skandal tersebut.

Ketika proses siasatan, sekurang-kurangnya dua bos syarikat penerbangan di Indonesia dan Sri Lanka didakwa di mahkamah atau dipenjarakan.

SFO menuduh Airbus memberikan suapan kepada AirAsia sebanyak AS$50 juta dalam bentuk tajaan pasukan sukan dimiliki dua orang yang dinamakan sebagai “Eksekutif 1” dan “Eksekutif 2” dalam AirAsia.

“Eksekutif 1 dan Eksekutif 2 AirAsia adalah penentu keputusan dalam AirAsia dan AirAsia X, mereka menerima ganjaran berikutan tempahan sebanyak 180 pesawat dari Airbus. Pembayaran kepada pasukan sukan itu bertujuan untuk mendapatkan atau memberi ganjaran terhadap bantuan tidak wajar oleh mereka berkenaan urus niaga tersebut,” kata SFO dalam dokumen mahkamah yang dilihat MalaysiaNow.

Susulan itu, CEO AirAsia Group Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutifnya, Kamarudin Meranun mengumumkan mereka meletakkan jawatan sepanjang tempoh siasatan.

Namun, pada penghujungnya, siasatan tersebut membersihkan nama kedua-duanya dan mereka kembali menduduki jawatan utama dalam syarikat itu.

Sejak MalaysiaNow membangkitkan persoalan berhubung siasatan yang sudah berlanjutan selama dua tahun itu, SC masih tidak memberikan respons kepada umum berkenaan perkara tersebut.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.