- Iklan -
Berita

Tiada dendam peribadi, kata Mahathir berhubung serangannya terhadap Najib

Mahathir berkata Nazir Razak yang merupakan adik kandung Najib sendiri menemui beliau untuk mendedahkan skandal berbilion ringgitnya abangnya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak mempunyai dendam peribadi terhadap Najib Razak ketika dilihat sering menyerangnya, mengatakan adik kandung bekas perdana menteri itu sendiri pernah menulis kepadanya mengenai 1MDB dan jenayah yang berlaku.

Mahathir berkata, Nazir pernah menemuinya untuk meminta beliaui melakukan sesuatu kerana berbilion wang hilang dan keadilan belum lagi dicapai.

“Tidak ada dendam peribadi di pihak saya terhadap Najib,” kata Mahathir dalam satu surat terbuka keduanya kepada pengundi Johor.

“Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah yang dilakukan oleh abangnya. Tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya dan merasa begitu bersalah,” katanya sambil berkata Nazir mendedahkan skandal Najib secara terperinci kepada beliau.

Mahathir turut berkata beliau akan terus “meratib” nama Najib dan mereka yang cuba merosakkan negara dan menipu rakyat.

“Sebenarnya saya ‘amat malu meratib nama Najib’ kerana beliau memalukan negara, bangsa dan agama,” katanya.

Mahathir adalah pemimpin yang lantang mengkritik bekas perdana menteri itu sejak skandal 1MDB didedahkan.

Beliau turut menggelar Najib sebagai “penyangak” dan “banduan” kerana terbukti bersalah di Mahkamah Tinggi dan Rayuan kerana menyalahgunakan dana RM42 juta SRC International yang berkait dengan 1MDB.

Dalam pada itu, Mahathir berkata walaupun terpalit dengan penghinaan dari luar negara dan pernah disifatkan sebagai “membawa malu kepada negara,” Najib masih tidak malu dan terus berusaha untuk mendapat kembali kekuatan politik.

“Dia percaya dengan memegang kembali kuasa politik di dapat lepas diri daripada hukuman.”

Justeru, Mahathir berkata Najib perlu disekat daripada kembali berkuasa.

Jika tidak “ini bermakna negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat dari kluster mahakamah untuk disamun dan dirompak,” katanya merujuk sekumpulan pemimpin Umno yang kini berdepan kes kesalahan jenayah di mahkamah.