Dokumen raja-raja dadah berkait Singapura muncul semula ketika hukuman mati dijadualkan di Penjara Changi
Kritikan antarabangsa terus dihalakan terhadap Singapura berhubung hukuman mati terhadap keldai dadah 'kecil-kecilan' sementara dalang sebenar yang mengupah mereka terlepas tanpa hukuman.
Dokumen berkenaan hubungan melibatkan raja-raja dadah terbesar di rantau ini yang menjalankan urus niaga di Singapura kini muncul semula ketika negara itu mengambil pendirian untuk terus tidak mengendahkan kritikan antarabangsa berhubung beberapa pelaksanaan hukuman mati terhadap keldai dadah “kecil-kecilan” yang disabitkan bersalah sejak sedekad lalu.
Pada 2005, ahli politik pembangkang Chee Soon Juan menuduh kerajaan Singapura bersikap hipokrit dalam mempertahankan pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah, memetik pelaburan besarnya di Myanmar walaupun terdapat beberapa dakwaan terhadap raja dadah yang mempunyai kaitan dengan junta tentera di negara itu.
“Kerajaan ini terus mengambil sikap tegas terhadap dadah dan menunjukkan betapa buruknya kesan dadah terlarang dalam masyarakat kita.
“Itu perkara baik, tetapi sepatutnya kerajaan pergi dan dapatkan sumber (dari mana jenayah itu berlaku),” kata Chee kepada akhbar The Age Australia pada ketika itu.
Chee merupakan bekas tahanan politik yang pernah disaman oleh mendiang Lee Kuan Yew dan anaknya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
“Apa guna hanya tangkap keldai dadah? Mereka tahu raja-raja dadah ini akan mencari orang baru untuk dapatkan dadah mereka.”
Pandangan tersebut mewakili bantahan antarabangsa terhadap percubaan Singapura yang baru-baru ini mahu menjalankan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka yang disabitkan kesalahan mengedar dadah, di mana kebanyakan pesalah dipaksa terlibat dalam perdagangan haram yang didalangi raja dadah serantau.
Pengkritik kerajaan Singapura juga menegaskan ramai daripada banduan bilik akhir di Penjara Changi Singapura adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, mengatakan ramai daripada mereka berakhir di tali gantung sementara dalang dadah sebenar yang mengupah mereka tidak dihukum.
Menegaskan perkara ini, taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson juga turut menulis surat terbuka kepada Presiden Singapura Halimah Yacob supaya beliau menghentikan hukuman mati terhadap Nagaenthran Dharmalingam, seorang warga Malaysia yang disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) mental.
Seperti ramai pengkritik lain, Branson berkata statistik menunjukkan hukuman mati bagi jenayah dadah gagal mencegahnya daripada terus berlaku.
Bahkan, menurutnya, langkah ekstrem seperti yang diambil Presiden Duterte di Filipina juga tidak dapat menyelesaikan isu perdagangan haram itu.
“Tetapi, perdagangan dadah global terus berkembang, dan semua jenis dadah terlarang lebih mudah didapati di seluruh dunia berbanding waktu-waktu lain dalam sejarah.
“Jika pencegahan adalah objektif, undang-undang ini gagal dengan teruk. Dan ia akan terus gagal,” tulis Branson.
Wartawan bebas Singapura Kirsten Han, yang aktif mengetengahkan kisah hukuman mati kerana kesalahan dadah, berkata mereka hanya mangsa keadaan yang terpaksa menjadi keldai dadah.
“Satu gambaran popular terhadap pengedar dadah layak dihukum mati ialah sebagai penjual dadah yang tamak, menggoda orang ramai untuk terus ketagihan sepanjang hayat demi mendapatkan keuntungan besar,” tulis Han dalam “We, The Citizens”, satu surat berita dalam laman sesawang yang diasaskan beliau bagi mengetengahkan isu yang dianggap sensitif oleh rejim PAP, di mana ia tidak akan diangkat media arus perdana Singapura yang dikawal ketat oleh kerajaan.
“Saya belum lagi menemui kes banduan bilik akhir yang sesuai dengan gambaran tersebut. Setakat yang saya lihat, tidak ada raja dadah yang tamak kuasa dan wang menjalani hukuman mati.”
Hubungan antara raja-raja dadah
Lebih sedekad lalu, wartawan Sweden Bertil Linter mendokumentasikan bagaimana Singapura menjalankan perniagaan dengan individu dan syarikat di Myanmar yang mempunyai kaitan dengan raja-raja dadah.
Ini termasuk keluarga mendiang “raja heroin” Lo Hsing Han, yang merupakan pemilik Asia World Co. Ltd, sebuah konglomerat infrastruktur utama di Myanmar di mana kerajaan Singapura mempunyai usaha sama ketika junta Burma dikecam kerana jenayah hak asasi manusia.
Pada 2008, Lo, bersama anaknya Steven Law dan isterinya yang merupakan warga Singapura Cecilia Ng, disenarai hitam oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) AS, mengatakan mereka mempunyai kaitan kewangan dengan rejim Burma dengan “sejarah penglibatan dalam aktiviti haram.”
Menurut fail perbendaharaan AS mengenai keluarga itu, Ng didapati menguruskan sekurang-kurangnya 10 syarikat di Singapura.
Pada tahun yang sama, OFAC turut menamakan puluhan individu dan syarikat sebagai “Pengedar Narkotik Yang Dilantik Khas”, menghubungkan mereka dengan rangkaian pengedaran dadah di Asia Tenggara dan pengeksport utama dadah seperti metamfetamin, dadah yang sama ditemui pada ramai banduan sama ada yang menjalani hukuman gantung atau sedang menunggu tarikh pelaksanaannya selepas semua rayuan dikemukakan kepada mahkamah.
Antara 26 individu yang dinamakan OFAC, salah seorang daripada mereka adalah Chou Hsien Cheng yang merupakan warga Singapura.
Semakan yang dilakukan Han baru-baru ini mendedahkan Chou dikaitkan dengan dua syarikat, Tet Kham (S) Pte. Ltd. dan Vest Spectrum (S) Pte. Ltd, yang dipercayai sudah tidak wujud.
Bagaimanapun, Han tidak dapat memastikan di manakah lokasi atau keadaan Chou ketika ini.
“Apa yang pasti, dia bukan banduan bilik akhir,” tulis Han baru-baru ini.
“Untuk menjelaskan duduk perkara: Saya tidak mengatakan bahawa dia harus dihukum mati, kerana saya fikir hukuman mati sepatutnya tidak wujud sama sekali, namun polisi ‘tiada tolak ansur’ bagi kesalahan dadah adalah tidak masuk akal jika kita hanya meletakkan etnik minoriti yang miskin, dan hanya bawa jumlah dadah yang tidak banyak untuk jalani hukuman mati,” tambahnya.
Ketidakseimbangan etnik dan kesesakan bilik akhir
Dalam hantaran terbarunya, Han bersama peguam hak asasi terkemuka M Ravi yang terlibat secara aktif dengan keluarga banduan bilik akhir, mengatakan ramai dalam kalangan banduan bimbang hukuman mati “mungkin dimulakan semula bagi membalas dendam”.
Beliau berkata kira-kira 20 dari 50 banduan bilik akhir kini sedang menunggu hukuman mati selepas tiada lagi cara untuk mengelak dari tali gantung.
“Sudah bertahun lamanya, saya mendengar suara mengenai tunggakan hukuman. Orang ramai kini bimbang jika penjara akan menyegerakan hukuman gantung kerana sabitan hukuman mati semakin meningkat, dan keluarga mereka turut menyampaikan kepada saya, ‘terlalu ramai (dalam penjara)’,” katanya.
Minggu lalu, dua banduan bilik akhir, warga Singapura Roslan Bakar dan Pausi Jefridin dari Malaysia, yang dijadualkan menjalani hukuman mati pada 16 Februari – selepas lebih sedekad disabitkan – dibenarkan untuk terus hidup melalui campur tangan undang-undang pada saat-saat akhir oleh peguam M Ravi, Violet Netto dan Charles Yeo.
Bagaimanapun, akhirnya perintah tangguh oleh presiden dikeluarkan bagi menyekat pelaksanaan hukuman ke atas mereka berdua ketika proses undang-undang diteruskan.
Nasib kedua-dua mereka serupa dengan beberapa pelaksanaan hukuman lain yang dirancang dalam beberapa bulan kebelakangan ini, seperti Nagaenthran dan rakan senegaranya, Pannir Selvam Pranthaman, dan warga Singapura Syed Suhail Syed Zin dan Moad Fadzir Mustaffa, yang kini berjuang untuk terus hidup dengan menggunakan segala kaedah perundangan terhad yang ada di republik tersebut.
Han juga turut membangkitkan fakta mengenai majoriti banduan bilik akhir mempunyai latar belakang ekonomi dan etnik yang sama, iaitu Melayu dan India.
Pada September 2020, MalaysiaNow melaporkan kira-kira 90% banduan hukuman mati Singapura adalah daripada dua komuniti etnik tersebut yang merangkumi lebih 20% daripada populasinya.
“Antara 2010–2021, dari 77 orang yang dijatuhkan hukuman mati (dan rayuan mereka ditolak), 50 daripadanya adalah Melayu.
“Ramai banduan yang saya temui juga bergelut dengan kemiskinan, kurang akses kepada pendidikan dan peluang, mengalami sejarah didera atau pengabaian, kebergantungan kepada dadah, atau ketidakupayaan intelektual dan psikososial,” kata Han.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.