Pakar ekonomi berkata walaupun perkhidmatan perbankan digital mengalami peningkatan mendadak sejak pandemik Covid-19 melanda, ia bagaimanapun dianggap sesetengah pihak sebagai trend yang mengganggu dalam industri berikutan kesannya terhadap bank fizikal.
Akan tetapi ia dipercayai akan membantu mendemokrasikan produk dan perkhidmatan bagi pelanggan selain memberi manfaat kepada bank itu sendiri.
Ketika perbankan digital semakin berkembang, didorong permintaan perkhidmatan efisien dalam beberapa aspek seperti rekod perbankan dan urus niaga, namun ciri-ciri bank konvensional mungkin akan mula terhakis.
Pejabat untuk pelanggan datang bagi melakukan urusan akan mulai berkurangan, sementara infrastruktur pejabat pula akan semakin mengecil manakala penggunaan mesin juruwang automatik (ATM) juga akan semakin berkurangan.
Perubahan sedemikian juga turut diramal berlaku lebih awal, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka bakal mengumumkan senarai pemohon yang diberi lampu hijau untuk penerimaan lesen bank digital.
Mereka yang memohon lesen tersebut termasuk Aeon Credit Service, Sunway, Grab Holdings dan BigPay AirAsia.
Di Asia, Hong Kong merintis perkhidmatan perbankan digital dan mula beroperasi pada tahun 2020.
Langkah tersebut turut diikuti dua lagi “Harimau Asia” – Taiwan dan Singapura – yang memulakan operasinya tahun lepas.
Bercakap kepada MalaysiaNow, pakar ekonomi Geoffrey Williams berkata ciri interaktif dipacu teknologi dalam talian bermakna infrastruktur dan kos kakitangan akan menjadi lebih rendah bagi pemain industri perbankan digital.
“Interaksi pelanggan semuanya dalam talian, mereka menawarkan transaksi segera melalui aplikasi yang sangat popular dalam kalangan pelanggan Gen Z,” katanya.
Williams, yang merupakan pensyarah di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata hal ini akan membantu menjadikan operasi bank lebih berdaya maju dengan model perniagaan aset ringan.
“Bank digital cenderung menawarkan produk yang lebih sedikit namun lebih mudah transaksinya, terutama untuk pemindahan wang, transaksi pembayaran dan pinjaman peribadi serta simpanan,” katanya.
“Namun mereka juga boleh menjadi lebih inovatif, dan sebagai contoh, ada yang menawarkan pinjaman peer-to-peer atau mata wang kripto.”
Ketua ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketiadaan cawangan fizikal akan memberi kelebihan kepada bank digital dari segi penawaran produk, dan memudahkan mereka dalam menguruskan kos operasi.
“Mereka juga akan mendapat pulangan pelaburan dalam masa yang lebih singkat,” katanya.
Beliau percaya pemberian lesen perbankan digital menunjukkan institusi perbankan masih berkembang, dengan berkurangnya halangan bagi kemasukan pemain baru dalam industri.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara ini juga akan memberi kesan kepada pemain yang sudah lama bertapak dalam industri.
“Pemain industri sedia ada perlu meningkatkan prestasi mereka dengan memastikan kepentingan pelanggan sebagai keutamaan, memandangkan produk kewangan yang ditawarkan lebih kurang sama antara bank.
“Akhirnya, pelanggan akan mendapat manfaat yang paling banyak kerana perkhidmatan dan produk didemokrasikan,” tambahnya.
Sementara itu Williams menjangka bank tradisional akan memberikan respons mereka dengan penawaran lebih banyak perkhidmatan perbankan dalam talian, sambil menambah mereka juga mungkin akan membeli bank digital tertakluk pada syarat perundangan.
“Saya fikir banyak bank digital memikirkan kemungkinan pemerolehan dalam jangka sederhana,” katanya.
Salah satu contoh bagaimana pelanggan mungkin mendapat manfaat daripada perbankan digital ialah tiada fi transaksi ATM antara bank sebanyak RM1 yang mula diaktifkan semula bulan ini.
Melalui perbankan digital, bayaran fi sedemikian tidak mungkin berlaku.
Williams berkata bank digital juga lebih berkemungkinan menawarkan produk tanpa fi kerana pendapatan mereka datang daripada asset-aset yang dipegangnya serta pelaburan daripada deposit dan bukannya aliran urus niaga harian.
“Lama kelamaan, bank digital akan memberi sedikit impak kerana ia menarik ramai pihak terutamanya golongan muda, warga asing yang tidak boleh membuka akaun tradisional, komuniti yang tidak mempunyai akaun bank di luar bandar dan sebagainya,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata bank tradisional tidak akan hilang serta-merta kerana ia masih diperlukan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang memilih perkhidmatan secara bersemuka, selain mengendalikan urusan gaji syarikat dan perbankan komersial.
Walaupun perbankan digital dijangka akan diterima pengguna, namun perbankan pelaburan dan tawaran kewangan lain merentasi portfolio keseluruhan bank tradisional akan mengambil masa untuk terkesan.
“Sebagai contoh, penggunaan penyelesaian digital dalam e-hailing, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia boleh menyesuaikan dan membiasakan diri dengan aplikasi digital.
“Bagaimanapun persekitaran kawal selia di Malaysia adalah ketat, ekoran beberapa sebab yang baik, dan saiz pasaran serta kumpulan berpendapatan rendah yang mungkin boleh menyekat kemungkinan pertumbuhan.”
Beliau turut memberikan contoh seperti Indonesia, yang mempunyai populasi sembilan kali ganda berbanding Malaysia, namun memiliki penduduk yang paling ramai tidak memiliki akaun bank.
Beliau berkata, lebih banyak pertumbuhan perbankan digital dijangka berlaku di negara itu selain India dan China.
Sementara itu, Azfanizam berkata bank tradisional perlu mencipta semula institusi mereka untuk berdepan dengan persaingan bank digital.
Memandangkan generasi muda lebih biasa dengan teknologi, katanya, bank digital akan mempunyai kelebihan dalam usahanya menembusi pasaran.
Williams berkata pada masa hadapan, wang juga mungkin wujud dalam bentuk digital.
Beliau juga berkata bank-bank pusat di Malaysia, Singapura, Australia dan Afrika Selatan sudah pun menghasilkan sistem pembayaran rentas sempadan menggunakan mata wang digital bank pusat.
“Bank digital mungkin lebih berminat dengan mata wang digital, namun penggunaan wang digital adalah berkait penerimaannya sebagai satu bentuk transaksi harian, selain isu keselamatan dan peraturan – ia bukan hanya tentang menubuhkan sebuah infrastruktur bank digital, walaupun sudah tentu ianya penting.”