- Iklan -
Berita

Majlis Keselamatan PBB bincang tindakan Rusia di timur Ukraine

PBB kesal terhadap keputusan Rusia berhubung dua wilayah di timur Ukraine di mana ia berisiko mendatangkan kesan di peringkat serantau dan global.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertemu akhir Januari lalu bagi membincangkan situasi antara Rusia dan Ukraine. Gambar: Bernama
Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertemu akhir Januari lalu bagi membincangkan situasi antara Rusia dan Ukraine. Gambar: Bernama

Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat tergempar malam Isnin bagi membincangkan keputusan Rusia mengiktiraf wilayah Donetsk dan Luhansk di timur Ukraine sebagai “dua republik merdeka”.

Pertemuan itu berlangsung atas permintaan Ukraine, beberapa jam selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan pengiktirafan Moscow terhadap dua wilayah itu, yang disiarkan di televisyen, lapor Agensi Anadolu.

“Kami amat kesal terhadap keputusan itu, yang berisiko mendatangkan kesan di peringkat serantau dan global,” kata Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Politik, Rosemary DiCarlo.

DiCarlo berkata rundingan adalah satu-satunya cara menangani perbezaan dalam kalangan pihak bertelagah mengenai isu keselamatan serantau dan mencari penyelesaian konflik di timur Ukraine.

Tindakan Rusia itu mendapat kecaman dan bakal menerima sekatan daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat, berikutan kebimbangan terhadap serangan selanjutnya ke atas Ukraine.

Menurut laporan itu, utusan AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield menuduh Putin mahu “dunia kembali ke masa lampau, sebelum penubuhan UNSC, ketika empayar memerintah dunia.”

Beliau berkata AS akan mengambil langkah selanjutnya demi memastikan Rusia bertanggungjawab atas “pelanggaran undang-undang antarabangsa dan mencemari kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine.”

Antara wakil lain yang turut hadir pada mesyuarat itu ialah United Kingdom, Perancis, India, Brazil, Mexico, Ireland, Emirah Arab Bersatu, Kenya, Ghana, Gabon, Norway, China, Rusia dan Ukraine.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.