Sempadan negara harus dibuka dengan segera bagi mengelakkan kesan yang tidak baik kepada ekonomi Malaysia, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin hari ini.
Bekas perdana menteri itu memaklumkan, Malaysia harus melihat kepada tindakan Australia yang membuka sempadan kepada pelancong yang divaksin bermula semalam.
Katanya, keputusan itu dicapai negara tersebut meskipun program vaksinasinya jauh lebih rendah berbanding Malaysia.
“Soal Omicron, soal Covid, seluruh dunia alami masalah ini. Walaupun kes meningkat, kadar kapasiti hospital kita mampu uruskan kes berat. Kalau dah boleh urus, jadi apa masalah?” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, tiada sebab untuk Malaysia ketinggalan dalam membuka sempadan kepada pelancong luar.
Terdahulu, MPN mencadangkan agar sempadan dibuka pada 1 Mac ini, namun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk menyiapkan garis panduan pembukaan sempadan.
Muhyiddin berkata, garis panduan perlu bersifat komprehensif agar tiada isu-isu berbangkit seperti kuarantin dan ujian saringan.
“Di Langkawi, tiap-tiap hari kena ujian, kalau saya pelancong asing pun pun tak nak masuk.
“Jadi saya harap ada satu pengumuman yang ambil kira semua aspek,” katanya.
Katanya, sektor pelancongan yang memerlukan pelawat asing menyumbangkan kira-kira RM80 bilion setiap tahun kepada pendapatan negara.
Katanya, meskipun ekonomi Malaysia lebih baik daripada tempoh sebelum ini, ia masih belum mencapai ke tahap sebelum pandemik Covid-19 melanda.