- Iklan -
Berita

Putin arah tentera Rusia jadi ‘pengaman’ di wilayah Ukraine dikuasai pemberontak

Putin mengarahkan kementerian pertahanan untuk mengambil alih 'tugas sebagai tentera pengaman' di wilayah Donetsk dan Lugansk yang dikuasai puak pemisah.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: Reuters
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: Reuters

Presiden Vladimir Putin mengarahkan tentera Rusia memasuki dua wilayah Ukraine yang dikuasai pemberontak pada Isnin, sebagai langkah menentang ancaman sekatan Barat yang dilihat boleh mencetuskan peperangan dan memberikan kesan buruk terhadap Kyiv.

Terdahulu, pemimpin Kremlin itu telah mengisytiharkan pengiktirafan kemerdekaan dua wilayah Ukraine yang dikuasai pemberontak iaitu Donetsk dan Lugansk, membuka jalan bagi mengerahkan sebahagian daripada pasukan penceroboh yang telah beliau kumpulkan di Rusia.

Dalam dua pengisytiharan rasmi, Putin mengarahkan kementerian pertahanan untuk mengambil alih “tugas sebagai tentera pengaman” di wilayah yang dikuasai puak pemisah.

Pengiktirafan terhadap wilayah yang berpisah dari Ukraine itu telah membentuk kawasan dikuasai pemberontak yang disokong Rusia sejak 2014, mencetuskan kecaman antarabangsa dan ancaman sekatan dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah – merangkumi sekatan ekonomi yang lebih luas sekiranya pencerobohan tetap diteruskan.

Ketika pengiktirafan Rusia ke atas dua wilayah diumumkan, ramai penduduk yang berasal dari wilayah itu menyatakan rasa tidak percaya namun menyatakan kesediaan mereka untuk mempertahankan negara.

‘Berita paling menakutkan’ dalam tempoh 8 tahun

“Saya sangat terkejut,” kata Artem Ivaschenko, seorang tukang masak berusia 22 tahun yang berasal dari Donetsk.

Artem berkata pengiktirafan Rusia terhadap dua wilayah itu sebagai “berita paling menakutkan” sejak dia meninggalkannya lapan tahun lalu.

“Saya tinggal di sini, saya kehilangan sebahagian dari tanah air saya, ia telah dirampas, jadi saya akan melindunginya.”

Selepas beberapa perbincangan bersama, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Olaf Scholz memberi amaran bahawa langkah diambil Moscow “tidak akan akan dibiarkan tanpa sebarang jawapan”.

AS mengumumkan sekatan pertamanya dan akan mengeluarkan perintah eksekutif untuk melarang pelaburan, perdagangan, dan pembiayaan baru warga AS melibatkan kedua-dua wilayah pemberontak itu.

Seorang pegawai presiden Perancis berkata, Kesatuan Eropah sedang menyediakan senarai entiti dan individu dari Rusia yang akan dikenakan sekatan sebagai tindak balas terhadap pengiktirafan negara itu di dua wilayah tersebut.

Di Kyiv, Presiden Volodymyr Zelensky mengadakan mesyuarat majlis keselamatan negaranya dan dijadualkan akan berucap mengenai perkembangan baru itu.

Terdahulu, dalam ucapan 65 minit secara langsung, Putin dilihat menunjukkan kemarahan dari pejabatnya di Kremlin.

Beliau juga turut menyifatkan Ukraine sebagai negara gagal dan “boneka” Barat. Beliau juga berkata negara itu adalah sebahagian dari Rusia.

Putin turut menuduh pihak berkuasa di Kyiv menganiaya penutur Bahasa Rusia dan menghalakan “blitzkrieg” terhadap Donetsk dan Lugansk di timur Ukraine.

“Bagi mereka yang merampas dan memegang kuasa di Kyiv, kami mendesak operasi ketenteraan mereka dihentikan dengan segera,” kata Putin.

“Jika tidak, semua pertumpahan darah akan akan menjadi tanggungjawab sepenuhnya pada rejim berkuasa di Ukraine.”

Putin berkata adalah perlu untuk “mengambil keputusan yang sudah lama tertangguh, dan segera mengiktiraf kemerdekaan” kedua-dua wilayah itu.

Beliau juga menandatangani perjanjian dengan pemberontak dan kemudian mengisytiharkan kehadiran pasukan tentera Rusia “bagi mengekalkan keamanan dan memastikan keselamatan.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.