Satu ketika dahulu, selain menjadi tempat membaca dan mendapatkan akses kepada pelbagai jenis ilmu, perpustakaan awam merupakan pusat kegiatan masyarakat yang memupuk perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Perpustakaan awam menjadi tempat murid-murid belajar secara berkumpulan, kelas tambahan selepas waktu sekolah tanpa dikenakan bayaran dan aktiviti membaca buat kanak-kanak dan remaja.
Selain itu, perpustakaan awam turut menjadi pusat asuhan terbaik untuk kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa bekerja di mana mereka membuat kerja rumah di hingga waktu pejabat selesai.
Ketika itu, perpustakaan awam di setiap negeri dan daerah meriah dengan kehadiran pengunjung setianya.
Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak kedengaran lagi perpustakaan awam menjadi tarikan dan tumpuan kepada orang ramai.
Apakah disebabkan kepesatan teknologi maklumat?
Bekas pegawai perpustakaan, Akwa Mahzan berkata perpustakaan awam mungkin berdepan kerugian disebabkan perilaku peminjam yang cuai dengan tidak memulangkan semula buku.
Katanya, kes-kes tersebut tidak melibatkan buku-buku kategori buku rujukan sebaliknya hanya melibatkan bahan bacaan kanak-kanak dan remaja.
“Buku-buku yang gagal dipulangkan bernilai bawah RM50. Buku-buku mahal pula selalunya memang tidak boleh dipinjam dan diletakkan di ruangan ‘red spot’,” katanya kepada MalaysiaNow.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pegawai di Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL) memberitahu, setiap rekod peminjaman, pemulangan, denda dan keahlian di perpustakaan-perpustakaan awam disimpan rapi.
“Dan sebulan sekali, akan ada runner (petugas) yang akan ditugaskan untuk mengutip kutipan denda di setiap cawangan perpustakaan,” katanya.
Katanya, selama berkhidmat di PKL beliau seronok bekerja di sana mengambil kira fungsi perpustakaan tersebut tidak hanya fokus kepada aktiviti membaca semata-mata.
Atas sebab itu, beliau menyarankan supaya setiap perpustakaan awam negeri mengambil serius inisiatif untuk mempelbagaikan aktiviti termasuklah menyasarkan pelbagai kelompok masyarakat.
Beliau berkata, pihaknya pernah mengadakan aktiviti bersama pelarian Sudan, Yaman dan Somalia mengenai perkongsian ilmu tentang anti keganasan terhadap wanita dengan kolaborasi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Sehingga kini, Akwa masih bergiat aktif dalam kerja komuniti melibatkan hebahan ilmu dengan menyertai aktiviti-aktiviti pembudayaan ilmu melalui perpustakaan jalanan dan tuisyen rakyat.
Tempat bersosial
Perpustakaan awam bukan sahaja pernah menjadi lokasi kegemaran orang muda, bahkan mereka yang berumur menjadikannya sebagai tempat riadah untuk membaca surat khabar dan bersosial.
Terutama sekali pada era digitalisasi yang menampakkan pengasingan sosial yang ketara dalam kategori rakyat yang berumur.
Situasi ini turut menyumbang kepada faktor kesihatan yang merosot seperti kemurungan di usia tua, serangan strok awal dan kematian awal.
Perpustakaan awam sepatutnya menjadi satu “alat bantuan” untuk mengelakkan berlakunya segala jenis serangan awal ini dan mencegah rasa bersendirian dalam kalangan warga tua.
Fenomena-fenomena di atas menyebabkan lebih ramai pihak tampil membangunkan perpustakaan komuniti selepas fungsi perpustakaan awam dilihat semakin pudar.
Kebangkitan kesedaran dalam kalangan orang muda terutama sekali mahasiswa dan penyelidik tentang peri pentingnya bahan bacaan dan program ilmu turut menyemarakkan lagi pertumbuhan perpustakaan komuniti di serata negara.
Boleh dikatakan, saban minggu terdapat sahaja hebahan tentang lokasi-lokasi perpustakaan jalanan dan komuniti yang dibangunkan oleh NGO dan kumpulan-kumpulan anak muda.
Antaranya Buku Jalanan Semporna yang dibangunkan oleh Borneo Komrad yang berpangkalan di Sabah.
Program tersebut bermatlamat untuk membantu kanak-kanak tanpa dokumentasi di Sabah mendapatkan akses ilmu dan maklumat secara adil sepertimana rakyat Malaysia yang lain.
Begitu juga dengan sekumpulan anak muda yang sedang membangunkan satu pusat pembudayaan ilmu di Bangi, Selangor yang bakal dikenali sebagai Astaka Fikir.
Jurucakapnya, Amar Ismat berkata, penubuhan perpustakaan awam itu memfokuskan kepada kegiatan penyebaran ilmu dalam kalangan pelajar dan penyelidik selain menjadi ruang bacaan untuk penduduk setempat.
Setakat ini, Astaka Fikir sudah menerima sumbangan buku dan pengubahsuaian yang hampir selesai.
“Kami berhasrat supaya astaka ini untuk menjadi ruang untuk mereka terutamanya di Bangi, Selangor untuk menggarap kefahaman Islam dan pusat penyelidikan,” katanya kepada MalaysiaNow.
Ketika ditanya, adakah perpustakaan-perpustakaan di universiti awam tidak mencukupi untuk menjadi pusat pembudayaan ilmu, jelas Amar, fasiliti tersebut hanya terhad kepada penuntutnya sahaja.
Manakala, penubuhan perpustakaan komuniti berupaya menyasarkan sasaran kelompok yang lebih besar.