- Iklan -
Berita

Irwan Serigar mohon batal saman 1MDB tuntut AS$6.59 bilion

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan itu mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah. Gambar: Facebook
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah. Gambar: Facebook

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah memohon untuk membatalkan saman yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap beliau dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang menuntut mereka membayar AS$6.59 bilion.

Permohonan itu difailkan Irwan selaku defendan kedua di Mahkamah Tinggi menerusi firma guaman Tetuan Lavania & Balan Chambers pada 18 Februari lepas terhadap 1MDB sebagai plaintif dalam kes tersebut.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media menerusi sistem mahkamah, Mohd Irwan mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky Limited serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak boleh dikekalkan memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

Irwan mendakwa beliau tidak mempunyai sebarang kewajipan kontrak, statutori atau fidusiari terhadap 1MDB kerana pelantikannya sebagai pengarah syarikat itu adalah selepas kerugian yang didakwa dialami 1MDB.

Irwan juga mendakwa apa yang amat mengelirukan ialah lembaga pengarah 1MDB sebelum beliau menjadi pengerusi tidak disaman oleh syarikat itu meskipun pelaburan Brazen Sky dan pembayaran Aabar Investments dilaksanakan semasa pengurusan terdahulu.

Menurut Irwan, tuntutan kerugian yang kononnya dialami 1MDB adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana syarikat itu telah memperoleh wang sejurus penyelesaian dicapai dalam tuntutan sivil terhadap pihak lain yang difailkan 1MDB.

Beliau berkata tuntutan 1MDB terhadapnya untuk pengembalian wang berjumlah AS$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) menurut Award Persetujuan bertarikh 9 Mei 2017 jelas tidak konsisten dengan pendirian yang kini diambil oleh 1MDB dalam permohonan syarikat itu untuk mengetepikan award tersebut dalam Timbang Tara London (permohonan penepian).

“Sekiranya 1MDB berjaya dalam permohonan (mengenepikan), ia bermaksud 1MDB tidak mengalami sebarang kerugian berbangkit daripada Award Persetujuan.

“Selanjutnya, kes 1MDB dalam permohonan (mengenepikan) adalah bahawa Lembaga Pengarah 1MDB pada masa itu, termasuk saya, tidak mempunyai pilihan melainkan mengikut arahan wakil pemegang saham iaitu Najib Razak (ketika itu),” katanya dalam permohonan itu.

Mengenai pembayaran 1MDB kepada Arul menerusi Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan bertarikh 23 Februari 2018, Irwan mendakwa tuntutan mengenai perjanjian itu adalah jelas dan tidak boleh dikekalkan.

Dakwa Irwan, sebagai pengerusi lembaga pengarah, tugas serta tanggungjawab beliau hanyalah terhadap 1MDB sebagai sebuah syarikat dan bukan Kerajaan Persekutuan ketika itu.

“Saya bukan seorang lantikan politik mahupun seorang ahli mana-mana parti politik yang berminat dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Dalam apa jua keadaan, keputusan untuk melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan merupakan satu keputusan kolektif oleh Lembaga Pengarah yang mempunyai kuasa sewajarnya untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut,” katanya.

Peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Irwan, ketika dihubungi berkata hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Azlinda Ahmad Sharif secara dalam talian dan mahkamah menetapkan 20 April untuk pengurusan kes selanjutnya.

1MDB, yang memfailkan saman terhadap Arul dan Irwan pada Mei tahun lepas, mendakwa kedua-dua defendan telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada IPIC pada 9 Mei 2017.

Dakwa 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran yang substansial berjumlah RM2,905,200 kepada Arul selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian serta kerosakan.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.